Hanya Sementara
Cahaya kelip-kelip ku sangka api,
Bersinar indah tapi sementara,
Ku harap berkekalan hingga akhir nanti,
Rupanya bahagia menjengah sementara.
Bibir
Marwan dengan senyuman seakan tiada berpisahnya, dia terhibur melihat tubuh
kecil di hadapannya itu bergerak-gerak. Walhal si kecil itu cuma menguap
sahaja, tapi senyumannya sudah melebar hingga ke telinga. Walaupun terhadang
dengan cermin inkubator tapi itu tak menghalang Marwan daripada terus merakam
aksi anak perempuannya yang baru sahaja dilahirkan itu menggunakan kamera telefon bimbitnya. Apabila si kecil itu tiba-tiba
menjungkitkan sedikit hujung bibirnya yang membuatkan dia kelihatan seperti
sedang tersenyum. Makin melebar senyuman si ayah.
“Comelnya
anak ayah ni, tambah-tambah bila sayang senyum macam ni sama macam ibu,” ujar
Marwan. Kemudian dia menyimpan semula telefonnya ke dalam poket seluar dan setelah
memastikan tangannya bersih, dia memasukkan tangannya melalui salah satu lubang
di inkubator itu untuk menyentuh anaknya. Kata doktor, sentuhan daripada ibu
boleh menimbulkan rasa tenang pada bayi yang lahir pramatang.
“Ibu
tak ada nak pegang sayang, ibu tengah sakit sekarang. Tak apa, biar ayah pegang
sayang dulu. Nanti bila ibu dah bangun dan sayang pun dah boleh keluar dari sini,
ayah bawa sayang jumpa ibu, ya. Ibu mesti seronok dapat jumpa sayang.” Tangannya
mengelus lembut tangan halus anaknya. Mengharap sedikit kekuatan mampu
disalurkan pada anaknya.
“Ayah
tahu anak ayah kuat, sama macam ibu sayang... janji dengan ayah ya. Kita jumpa
ibu sama-sama.” Marwan terus setia di sisi anaknya, kerana dia sedar setiap detik
sangat berharga. Dan tatkala memikirkan isterinya yang masih belum sedarkan
diri selepas melahirkan anak mereka, Marwan jadi galau. Senyumannya tiba-tiba
hilang. Hatinya tak putus-putus berdoa semoga isteri dan anaknya tak apa-apa.
Selimut
separas dada dilurutkan sedikit ke bawah, tangan isterinya yang terkulai layu
itu dicapai lembut. Perlahan-lahan Marwan mengelap bahagian tubuh isterinya
yang terdedah dengan kain lembap. Beberapa kali dia mengulangi perbuatan itu.
“Sayang,
abang baru balik dari tengok anak kita. Aktif betul dia hari ni. Macam-macam
gaya dibuatnya kemudian dia senyum dekat abang. Cair hati abang tengok. Cantik
sangat macam senyuman sayang,” puji Marwan sambil tersenyum.
Kemudian
wajah lesu isterinya yang semakin cengkung diusap penuh kasih sayang. “Bangunlah,
Safwa. Janganlah baring lama-lama macam ni. Safwa tak nak tengok anak kita ke? Abang
bawa Safwa tengok anak kita, ya.” Juntaian rambut Safwa di dahi dibetulkan.
“Kalaupun
Safwa tak kesian dekat abang, kesianlah dekat anak kita. Lama dia tunggu Safwa
datang jumpa dia, susukan dia… peluk dia.” Nada suara Marwan kian bergetar.
Semakin hiba apabila teringatkan perbualannya dengan doktor yang merawatkan
anaknya sebentar tadi. Perkhabaran yang hampir meragut kewarasannya. Jantung
anaknya yang dijangkiti kuman semakin lemah. Doktor tak mampu memberi jaminan
anaknya boleh bertahan lebih lama, mereka meminta Marwan supaya bersedia apa
adanya.
Sementelah
isterinya pula, masih belum sedarkan diri dan tak menunjukkan apa-apa
tindakbalas positif. Marwan jadi nanar… adakah dia bakal kehilangan kedua-dua
perempuan yang berharga dalam hidupnya sekelip mata?
Safwa menggerakkan kelopok
matanya, perlahan-lahan. Terasa pedih matanya apabila cahaya lampu yang terang
itu seakan-akan menyucuk matanya. Sebaik sahaja, dia mampu memandang
sekelilingnya, bibirnya menguntum senyuman melihat suaminya sedang menggengam
erat tangan kirinya sambil menunduk, genggaman tangan mereka dijadikan sandaran
wajahnya.
“Abang…”
serak suaranya memanggil Marwan. Mata Marwan terbuka saat mendengar suara lemah
itu. Lantas wajah isteri dicari.
“Safwa,
sayang dah sedar. Abang panggilkan doktor ya, sayang tunggu sekejap.” Marwan
sudah berkira-kira hendak meninggalkan isterinya tetapi pegangan tangan Safwa
yang lemah itu menghalang dia dari pergi. Isterinya itu menarik lembut
tangannya.
“Abang,
mana anak kita? Safwa nak tengok dia,” pinta Safwa. Itu perkara pertama yang
terlintas dalam benak fikirannya. Anaknya! Wajah pucat Safwa kelihatan manis dihiasi
senyuman. Dengan susah payah dia cuba untuk duduk tapi dihalang Marwan.
“Safwa
baru sedar, jangan bangun lagi. Baring ya,” pujuknya tanpa menghiraukan soalan
isterinya.
“Anak
kita tak apa-apakan? Mana dia? Safwa nak tengok anak kita, mesti comelkan,
abang?” Safwa tertawa kecil, bahagia memikirkan bakal berjumpa anaknya.
“Safwa…”
seru Marwan perlahan. Safwa jadi kaget melihat tingkah suaminya, dia cuba
meraih tangan suaminya yang berdiri di sisinya.
“Mana
dia?” tubir matanya terasa hangat. Seolah dapat meneka apa yang bakal keluar
dari bibir sang suami.
Terasa
berat lidah Marwan hendak menolak patah kata untuk keluar dari bibirnya.
Bagaimana dia harus sampaikan khabar berita ni pada isterinya. Sungguh, saat
ini sangat menguji dirinya. Marwan merapati isterinya lalu tubuh sang isteri
dipeluk erat. Ubun isterinya dicium penuh kasih sebelum dia berbisik pada
Safwa.
“Anak
kita…” Marwan tahan sebak. Ayatnya tergantung.
Safwa
menanti penuh sabar.
“Anak
kita, dia tunggu kita disana sayang.” Selembut mungkin nadanya menyampaikan
perkhabaran sedih itu kepada isterinya.
Hati
Safwa bagaikan direntap lantas matanya pantas mencari anak mata suami yang
jelas berkaca. Mencari kebenaran di sebalik mata redup suaminya.
“Anak
kita dah meninggal sayang. Allah lebih sayangkan dia.”
Tiada
suara, cuma air mata yang mengalir di pipi Safwa. Bawah bibir digigit menahan sedih
di hati.
“Abang
bawa Safwa jumpa dia ya. Nanti kita pergi melawat rumah anak kita ya sayang.”
Serasa tak terluah perkataan kubur itu dari bibirnya. Lalu digantikan dengan
perkataan rumah. Rumah tempat anak mereka berteduh sekarang.
Safwa
mengangguk perlahan. Wajahnya tak beriak, hanya air mata yang mengalir
membasahi pipinya.
Wajah
sugul Safwa yang diam tak berkutik betul-betul meruntun hati. Kali ini sungguh
Marwan tak mampu menahan lagi air matanya. Empangan air matanya pecah. “Abang
minta maaf, sayang. Safwa tak sedarkan diri selama empat hari. Abang terpaksa
buat keputusan untuk kebumikan anak kita sebelum Safwa sempat jumpa dia…”
Perkhabaran
kedua ini lebih menyayat hatinya. Dia tak sempat berjumpa apatah lagi memegang
anak yang dia nantikan bertahun lamanya. Bibir Safwa bergetar, renungan matanya
kosong, tubuhnya mula menggigil. Dirinya seakan hilang kawalan, dia tak mampu
berfikir lagi.
Melihat
keadaan Safwa, Marwan mengeratkan lagi pelukannya. “Abang minta maaf, Safwa.
Abang gagal jaga sayang, abang gagal lindungi anak kita…”
“Abang,
Safwa mengantuk… Safwa nak tidur,” pinta Safwa secara tiba-tiba sekaligus
memotong bicara Marwan setelah lama mendiamkan dirinya. Dia menolak perlahan
tubuh Marwan supaya menjauh. Tubuhnya dijatuhkan semula ke atas tilam perlahan-lahan
sebelum selimut ditarik hingga ke paras dada. Matanya dipejamkan, hanya
kelihatan air matanya mengalir di pipi tanpa sebarang suara atau esak tangis.
Marwan
jadi keliru dan risau melihat tindak balas isterinya. Dia jangkakan Safwa akan
meraung semahunya, dia sudah bersedia menghadapinya tapi Safwa yang
dihadapannya sekarang sebaliknya. Marwan mati akal.
Marwan menolak
daun pintu bilik tidur mereka dengan perlahan, berhati-hati dia menapak
mendekati Safwa yang sedang berbaring mengiring di atas katil sambil merenung
ke luar jendela. Duduknya dilabuhkan di birai katil.
“Safwa,
abang bawakan bubur untuk Safwa, bangun ya. Jamah sikit makanan ni,” pujuk
Marwan. Namun tak mendapat respon daripada Safwa, isterinya itu hanya
mendiamkan diri. Sejak pulang dari hospital minggu lalu Safwa langsung berubah
menjadi orang lain, dirinya semakin tidak terurus. Dia enggan makan, perut
kosong itu hanya dialas dengan air suam. Bercakap apatah lagi.
Mujur
sahaja Marwan mampu bersabar melayani kerenah Safwa. Emaknya sendiri berpesan,
waktu sekarang ini Safwa perlukan lebih perhatian terutamanya daripada suaminya
sendiri. Jadi Marwan sebagai suami perlu banyak bersabar dan tabah. Walaupun
dia turut sama berduka akan kehilangan anak mereka, mana mungkin sama dengan
perasaan kehilangan yang isterinya tanggung. Safwa yang kandungkan anak mereka
dan lebih menyedihkan Safwa tak sempat pun berjumpa dengan anak mereka.
Belakang
tubuh isterinya itu dipandang penuh sayu. Walaupun tiada suara yang kedengaran
tapi Marwan tahu isterinya itu sedang menangis. Tubuh Safwa bergerak-gerak
seakan-akan dia sedang menahan esak tangis.
“Abang,
anak kita dah tak ada. Anak kita dah mati…” dalam keadaan membelakangkan Marwan,
Safwa bersuara.
Marwan
menggigit bawah bibirnya. “Safwa…” panggilnya perlahan.
“Allah
hukum Safwa ke abang? Ni balasan sebab Safwa tak pandai jaga amanah yang dia
bagi dekat Safwa. Safwa cuai, sepatutnya Safwa hati-hati masa turun tangga hari
tu tapi… anak kita yang jadi mangsa.”
Esaknya makin kuat.
“Shhh…”
Marwan memeluk belakang tubuh Safwa yang terhinjut-hinjut dek tangisan.
Tangisan Safwa yang mulanya tadi tak kedengaran sekarang kian menggila.
“Bukan
salah Safwa, kita tak tahu benda nak terjadi. Sayang, Tuhan tak pernah salah
hukum. Yang salah itu manusia bila dia salah tafsir ketentuan hidupnya. Tuhan
ambil anak kita bukan sebab nak hukum Safwa bukan juga abang tapi sebab DIA
tahu kita kuat terima ujian ni. Sebab tu DIA hadiahkan kita anak syurga. Kita
untung, anak kita dah tunggu kita dekat sana.”
Safwa
mengongoi…
“Safwa,
abang faham sayang sedih. Abang ayahnya. Abang pun sedih. Kita sama-sama tunggu
dia enam tahun lamanya, kita sama-sama nantikan kehadiran dia.”
Safwa
berpaling menghadap Marwan. Suaminya itu, membetulkan juraian rambutnya yang
jatuh menutupi dahinya.
“Jadi
abang minta sangat-sangat dekat sayang, tolong jadi kuat. Sama-sama kita kuat
terima dugaan ni. Sayang tolong abang juga, tolong abang supaya terima dengan
redha pemergian anak kita. Biar dia tenang dekat sana. Kalau anak kita tahu ibu
dia selalu menangis, makan pun tak… mesti dia sedih. Safwa nak ke anak kita
sedih?” Pujuk Marwan lagi.
Dalam
esaknya, Safwa mengelap air mata di pipi dengan belakang tapak tangannya, dia
menggelengkan kepalanya perlahan. Tak, dia tak mahu anaknya bersedih.
Marwan
tersenyum. “Walaupun jasad anak kita tak ada dengan kita tapi kenangan dia
sentiasa hidup dalam hati kita. Ingat tu,” pesan Marwan buat Safwa tapi untuk
dirinya juga.
Safwa
mengangguk kepalanya, sebelum menghilangkan diri dalam dakapan suaminya.
Enam bulan kemudian…
“Sayang, baju
melayu abang mana?” Soal Marwan yang baru selesai mandi pada Safwa yang sedang sibuk
menghidangkan juadah hari raya di dapur. Terhenti tangan Safwa daripada
menyusun ketupat di atas pinggan.
“Ada
dalam almari baju. Safwa lupa nak keluarkan tadi.” Safwa menepuk dahinya atas
kealpaannya. Tertawa kecil Marwan dengan keletah isterinya.
“Memandangkan
sayang yang terlupa, sayang tolong ambilkan untuk abang boleh? Terima kasih.”
Matanya dikenyitkan pada Safwa.
“Abang
ambil sendiri pun bolehkan?” Meleret suaranya meminta encik suami berdikari. Bukan
nak mengelat tapi tengah sibuk menghidang lauk, tak menang tangan pagi raya ni.
“Ala,
nak manja-manja dengan isteri abang yang cantik ni,” usik Marwan. Yang
sebetulnya itu strategi. Marwan terlupa baju melayu mana satu yang patut dia
pakai pagi raya ni. Bila dia buka almari baju tadi ada dua tiga warna baju
melayu untuk raya mereka yang Safwa sediakan. Kalau dia tersilap pilih tema
nanti dah tak sedondon baju mereka, bebel panjang isteri tercintanya. Memang
tak dia nak tukar balik kalau tersalah pilih warna. Iyalah nak tangkap gambar
cantik-cantik, letak dekat Instagram,
nak #OOTD lagi. Jangan ambil risiko!
“Manja!”
Safwa membalas usikan suaminya itu dengan mencubit manja lengan suaminya. Si
suami mengaduh sakit yang dibuat-buat sebelum ketawa mereka berdua meletus.
Pintu
almari pakaian mereka dibuka, tangan Safwa laju mencapai baju melayu Marwan yang
elok tergantung dalam almari. Ketika tangannya menarik keluar baju melayu
Marwan, matanya tertancap pada gaun putih yang tergantung di dalam almari, gaun
yang dibalut rapi dengan plastik itu dicapainya.
Safwa
duduk dibirai katilnya. Gaun putih kecil itu diangkat tinggi lalu didekatkan
pada wajahnya. Dicium penuh rasa rindu sebelum dipeluk erat baju kecil itu.
Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang, hatinya menggila semula dan jiwanya mula
merindu. Raya kali ini sepatutnya mereka bertiga, sepatutnya ada tangisan bayi
di rumah mereka, sepatutnya gaun-gaun comel yang dia sudah sediakan itu
disarungkan pada tubuh kecil anak mereka… sepatutnya…
“Sayang,
mana baju...” terhenti soalan Marwan.
Cepat-cepat
Safwa mengelap air mata yang mula membasahi pipinya.
“Ada-ada.
Safwa baru nak bawa keluar.” Safwa lekas-lekas mengukir senyuman. Baju gaun
putih tadi dengan cepat disembunyikan di bawah bantal tidur. Safwa segera mendapatkan
Marwan lalu dihulurkan baju melayu tersebut sebelum dia menghilangkan diri
disebalik pintu.
Tanpa
sedar keluhan terlepas dari bibir Marwan. Walaupun sudah hampir enam bulan kepemergian
anak mereka tetapi jiwa isterinya belum pulih sepenuhnya, cuma Marwan yakin isterinya
semakin boleh terima kenyataan. Cuma Safwa perlukan masa lagi.
Sebaik
sahaja dirinya lengkap berbaju melayu, Marwan terus ke ruang tamu rumah mereka dan
tika itu matanya terarah pada Safwa yang sudah lengkap bertelekung sedang ralit
melayan telefon bimbitnya sambil tersenyum-senyum seorang diri. Terus dia
mendapatkan isterinya.
“Tengok
apa tu sayang? Sampai tersenyum seorang-sorang.”
Safwa
mengangkat pandangan matanya. Lantas ditarik tangan suaminya supaya lebih
mendekat dengannya.
“Tengok
anak kita.”
Marwan
terdiam.
“Jangan
risau, Safwa okeylah. Cuma, tiba-tiba Safwa rindu dekat anak kita ni.”
Marwan
tarik senyuman lega, dia turut melihat rakaman video anak mereka. Selepas
sahaja lahir, doktor tempatkan anak mereka dalam inkubator sebabnya anak mereka
itu lahir pramatang. Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tapi anak mereka
aktif menggerakkan tangan dan kakinya. Marwan tersenyum teringatkan kenangannya
bersama anak mereka.
“Sayang
nak tahu tak, anak kita ni kuat orangnya. Masa dia baru aje lahir, doktor dah
bagi petanda dekat abang yang dia cuma boleh bertahan sejam dua sahaja selepas
lahir. Tapi kuasa Allah… anak kita mampu bertahan sampai dua hari. Lebih lama
berbanding jangkaan doktor. Cuba sayang bayangkan tubuh kecil tu sedaya upaya melawan
sakit dia. Allahuakhbar.” Sungguh-sungguh Marwan bercerita. Walaupun kejadian
itu sudah lama terjadi, tapi Marwan rasakan seperti baru semalam detik itu dia
lalui.
Safwa
tersenyum. “Mestilah, dia kan anak Safwa. Kenalah kuat macam Safwa.”
Marwan
menjuih bibirnya. “Aiceh, Safwa hati tisu. Anak kita ikut perangai abang. Jiwa kental.”
Lengannya dibuat gaya ahli bina mununjuk otot. Safwa ketawa melihat telatah suaminya.
Safwa kembali mengalih matanya pada skrin telefon.
Tiba-tiba
Marwan bersuara, “Mujur… mujur Allah hadiahkan tempoh dua hari buat kita. Abang
bersyukur sangat-sangat.” Nada Marwan bertukar rendah. Terbayang-bayang tubuh
halus itu berselirat dicucuk dengan pelbagai wayar. Lemah hati ayahnya melihat
keadaan anaknya. Mungkin itu hikmahnya, anak mereka pergi sebelum sempat Safwa
berjumpa dengannya. Mungkin tuhan lebih tahu yang Safwa tak cukup kuat nak
berdepan dengan keadaan anak mereka ketika itu.
“Abang
minta maaf sebab tak mampu nak tunggu hingga Safwa sedar diri. Urusan
pengebumian anak kita pula tak boleh nak ditangguhkan, jadi rakaman video ini
sahaja kenangan dia yang mampu abang berikan pada Safwa,” ujar Marwan.
“Abang,
tak perlu minta maaf. Mana-mana ayah pun kalau mereka dekat tempat abang,
mereka akan buat benda yang sama macam abang. Terima kasih sebab abang berikan
kenangan ni pada Safwa. Ini kenangan, harta yang paling bernilai anak kita buat
Safwa.” Safwa tersenyum manis pada suaminya, cuba mengusir rasa terkilan
suaminya. Bukan salah suaminya, bukan salah siapa-siapa. Ini semua takdir.
Takdir yang anaknya pergi tanpa mereka sempat berjumpa.
Mereka
saling berpandangan dan Marwan membalas senyuman Safwa.
“Safwa
rasa Safwa dah sedia,” tutur Safwa.
“Sedia,
maksud Safwa?” Soal Marwan. Keningnya terjongket ke atas sebelah.
“Sedia
nak ‘berjumpa’ anak kita.” Yakin nada Safwa. Safwa lukis senyuman dibibirnya. Tak
seperti enam bulan yang lalu. Tatkala Marwan mengajak dia ziarah kubur anak
mereka, dia menolak. Bukan tak ingin tapi dia tahu hatinya belum cukup kuat.
Marwan
merenung mata Safwa mencari kepastian. “Betul ni? Safwa betul yakin? Tak perlu paksa diri. Kita ada banyak masa lagi,” pujuk Marwan
Safwa
mengangguk kepalanya berkali-kali sambil tersenyum. “Betul. Sangat yakin. Kejap
lagi lepas sembahyang raya kita ‘jumpa’ anak kita, ya?” Lantas lengan Marwan dipegang.
Kali pertama hendak ‘berjumpa’ dengan anaknya. Tak sabar hatinya rasa.
Sayang,
ibu datang ni.
Lampu meja kerjanya
dihidupkan dan Safwa menarik laci meja tersebut, tangannya mencapai diari
berkulit putih gading itu. Hati-hati dia menyelak helaian demi helaian diari
yang sudah lama tidak dibuka itu. Terhenti selakannya di satu muka surat.
Bibirnya menguntum senyuman manis. Tangannya mengusap gambar ultrasound anaknya yang ditampal di
helaian itu.
Tatkala
itu terdetik di hatinya, ingin mencoret sesuatu buat anaknya. Lantas kertas
berwarna ungu lembut ditarik. Sengaja warna itu dipilih, simbolik kasih
sayangnya buat anaknya. Digenggam kemas pena bermata bulat itu dan seperti
memahami gelodok jiwa Safwa, laju mata penanya berlari di atas kertas tersebut
berkongsi rasa yang udah lama tersimpan di hati.
Istimewa buat Puteri ibu,
Sofea Medina Binti Mohd Marwan.
Kadang-kadang terdetik di hati ibu, kenapa ibu tak berpeluang dengar ketawa dan tangisan Sofea? Sedangkan lama ibu dan ayah tunggu sayang dalam hidup kami. Enam tahun, Sofea. Enam tahun kami tunggu Sofea. Tapi rupanya tuhan dah takdirkan cuma tujuh bulan sayang hidup di dalam rahim ibu dan cuma dua hari sayang mampu bernafas di dunia. Satu tempoh yang sangat singkat, Sofea.
Tapi ibu percaya, Allah ambil Sofea lebih awal ada sebabnya. Mungkin Allah nak ibu jadi ibu yang lebih kuat untuk adik-adik Sofea dan kalaupun ibu ditakdirkan ada anak lain, ibu tak akan pernah lupakan sayang. Sofea tetap di hati ibu.
Cuma ibu nak Sofea tahu yang Sofea adalah ‘Pinjaman’ tuhan paling bernilai buat kami. Pinjaman yang indah walau sementara. Ibarat indah cahaya kelip-kelip yang bersinar sementara tapi keindahan itu berkekalan di hati si pemerhati.
Walaupun ibu tak sempat bertentang mata dengan Sofea, ibu tak berpeluang nak susukan Sofea, apatah lagi untuk dukung dan belai Sofea. Tapi ibu bersyukur sangat untuk bahagia sementara yang Allah kurniakan buat ibu dengan ayah. Sekurang-kurangnya ibu dan ayah tahu yang kami pernah diberi peluang menjadi ibu dan ayah kepada Sofea Medina.
Sofea, ibu minta maaf sebab lambat datang ‘berjumpa’ sayang. Baru sekarang ibu ada kekuatan untuk berhadapan dengan sayang. Tapi ibu janji, lepas ni ibu akan lebih kerap jumpa sayang, hadiahkan al-fatihah untuk Sofea dan bersihkan rumah Sofea selagi hayat dikandung badan. Cuma janji dengan ibu… Sofea tunggu ibu dengan ayah dekat sana ya, sayang.
Yang sentiasa merindu,
Ibu Sofea - Safwa Nerina
Safwa
menghentikan tulisannya. Bawah bibirnya digigit lembut, air mata yang mengalir
di pipi dibiarkan sahaja jatuh tanpa disapu. Kertas yang berisi rasa jiwanya itu
dilipat dua lalu diselitkan dalam diarinya. Safwa menutup diari itu lalu
didakap erat dalam pelukannya. Membayang tubuh halus Sofea dalam dakapannya.
Cahaya kelip-kelip ku sangka api,
Bersinar indah tapi sementara,
Ku harap berkekalan hingga akhir nanti,
Rupanya bahagia menjengah sementara.
Hati
Safwa tenang tika itu, dirinya sendiri tertanya-tanya mungkinkah kerana dia
benar-benar telah merelakan kepermergian anaknya itu dengan hati yang ikhlas?
Ya,
itu jawapannya.
Ibu
ikhlas Sofea pergi.
TAMAT
Nota Kecil: Cerita
ni, dah lama saya karang… tapi baru sekarang hendak dikongsi dengan pembaca. Sejujurnya,
saya sangat terkesan dengan kisah orang disekeliling saya yang kehilangan anak
mereka. Ada yang sesetengah daripada mereka menantikan zuriat bertahun lamanya.
Tapi apabila dikurniakan tuhan cuma pinjamkan sementara. Sedih, tapi siapa kita
untuk pertikaikan takdir?
Kadang,
saya hendak katakan kepada mereka. Mungkin inilah yang terbaik ALLAH S.W.T dah
aturkan buat kau, ALLAH lebih tahu kalau anak ini hidup mungkin kau masih belum
bersedia sebagai ibubapa, atau mungkin anak itu satu hari nanti akan
merunsingkan hidup kau kelak. Kita tak tahu…tapi acap kali itulah, lidah
terikat rapat. Tak berani nak kata berlebihan takut hati yang mendengar
terguris. Kita cuma melihat tapi yang menanggung yang rasa perit kehilangan. Hanya
takziah yang mampu dizahirkan.
Buat
pembaca yang pernah kehilangan… saya harap anda bertabah dengan ujianNYA. Takkan
diuji diri itu melainkan tuhan tahu awak mampu menghadapinya. Dan semoga DIA
memberi ganti kepada yang telah pergi itu.