1 December 2015

P.A.P.A 5 & 6


BAB 5

Kali pertama berjumpa, katanya kebetulan.
Kali kedua berjumpa, soalnya… jodoh ke ni?

Perlahan-lahan matanya dicelikkan. Cahaya lampu yang terang membuatkan matanya terasa silau. Berkerut sedikit dahinya dek rasa pedih yang menerjah matanya itu. Sekali lagi matanya dipaksa supaya melawan cahaya itu.

“Awak dah sedar?” 

Satu suara menyapanya.

Qaisy mengalihkan pandangannya pada susuk tubuh yang berdiri di sebelah kanannya. Figura seorang gadis yang terbias dari pandangan matanya dan dek pandangannya yang masih kabur menyebabkan dia seolah-olah ternampak cahaya disekeliling tubuh itu.

Dikelipkan matanya beberapa kali. Pandangan Qaisy beransur-ansur jelas dan sekarang wajah si pemanggil jelas terpampang di retina matanya. Hatinya berdegup kencang…

Dup dup dup.

Patutlah… gumam Qaisy perlahan. Dari masa sebelum dia pengsan lagi dia asyik ternampak cahaya tu. Rupa-rupanya dia. Hanya gadis itu sahaja yang mampu hadirkan ilusi cahaya ala-ala bidadari turun dari langit pada Qaisy.

Dia tu Qaiyisha.

Qaisy tersenyum.

My heart flutters when I see you.” Spontan Qaisy meluahkan perasaannya.

“Apa?” kening Qaiyisha bertemu.

“Jom kahwin nak?”

“Apa?!” suara Qaiyisha nak satu oktaf.

“Kahwin. Awak dengan saya. Kita bina keluarga kita. Ada anak-anak…”

Mulut Qaiyisha ternganga. Ok. Anak-anak dia sebut bukan anak sahaja!

“Teruk jugak kepala awak terhantuk ni, saya rasa doktor kena scan kepala awak ni tak pun buat MRI ke. Sebab rasa macam otak awak punya sel dah tak berhubung ni.”

Terkejut?

Gila tak!

Macam nak pengsan Qaiyisha rasa bila tiba-tiba Qaisy ajak dia kahwin. Kenal pun tak, nama penuh Qaisy pun dia tak tahu. Berjumpa pun baru dua kali dan kalau ditambah masa kedua-dua pertemuan mereka memang lebih dari 8 jam tapi lepas tolak masa yang Qaisy pengsan lepas pembedahan tadi, pun belum tentu 2 jam jumlah pertemuan masa mereka!

Dia ingat kahwin tu macam main pondok-pondok ke? Jumpa, rasa macam berkenan lepas tu terus ajak kahwin? Hish, gila betul Qaisy ni. Sedar-sedar terus ajak orang kahwin. Dah kenapa?

“Saya serius, otak saya tak ada masalah. Saya rasa kita memang berjodoh.”

Kali pertama berjumpa Qaisy fikir itu satu kebetulan sahaja. Tapi kalau kali kedua pun berjumpa… bukan jodoh ke tu?

Nonsense. Awak baru sedar sebab tu awak cakap benda merepek. Saya panggilkan doktor.” Tanpa pamitan, Qaiyisha terus meninggalkan Qaisy yang sedang terlantar di katil.

Di luar bilik sakit Qaisy, Qaiyisha bersandar di balik dinding. Tangannya memegang dadanya tepat di hati. Berdegup kencang saat Qais memegang tangannya dan melamarnya untuk menjadi suri di hati Qaisy.

Qaiyisha tersenyum. Tak pernah lagi seumur hidupnya berjumpa lelaki yang aci redah macam Qaisy. Memang la hati terasa berbunga-bunga. Perempuan mana yang tak suka kalau ada lelaki yang ajak dia kahwin. Tapi Qaisy ni straight sangat! naik ngeri pulak dia rasa. Cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya, mengusir rasa yang dia takut akan menyapa hatinya.

“Merepek betul mamat tu. Ada ke patut baru dua kali jumpa terus ajak kahwin? Mengarut sungguh!” Langkah kaki terus diatur mencari doktor yang merawat Qaisy sebentar tadi.

Sementara di dalam bilik, Qaisy yang terbaring lemah di atas katil merenung ke arah siling hospital. Qaisy terasa tekaknya dahaga. Dia menggerakkan tubuhnya tapi ketika hendak bangun dari pembaringannya baru Qaisy sedar sesuatu.

Dia mengerang kesakitan.

Baru saat ini matanya menangkap kaki kirinya yang elok tergantung di hadapannya manakala tangan kanannya pula berbalut dengan kain putih. Dia hendak memalingkan kepalanya ke kirinya tetapi tak boleh. Tangan kanannya pantas memegang lehernya. Qaisy mengeluh kecil… rupa-rupanya lehernya pun dah selamat dipakaikan cervical collar. Cervical collar yang tersarung dilehernya itu diusap perlahan dengan tangan kanannya yang hanya mengalami luka ringan. Macam mana boleh tak terperasan yang badan teruk luka masa sedar tadi? Dahsyat jugak panahan cinta Qaiyisha ni sampaikan angau dia melebihi rasa sakit kemalangan.

Memang patutlah dalam islam ajar kita supaya tundukkan pandangan mata kita. Jangan lebih-lebih usha orang perempaun nak-nak pula anak dara orang! Kan musibah dah menimpa diri. Padah tengok Qaiyisha sampai tak sedar motor yang dia bawak tu bukan jalan lurus ke hadapan dah tapi dah straight ke longkang!

Dia memerhatikan sekelilingnya dengan hujung matanya. Di sebelah kiri katilnya ada seorang pesakit lelaki lebih kurang sebayanya yang sedang nyenyak tidur. Keadaan lelaki itu tak ubah sepertinya cuma lelaki itu berbalut kedua-dua kakinya. Melalui perhatiannya lelaki tu mesti kaki rempit. Telah Qaisy. Manakala katil yang sebelah kanannya kosong. Dia memandang semula ke hadapan, katil yang berhadapan dengannya dihuni oleh seorang pesakit lelaki tua yang berbalut tangan kirinya. Pak cik tua itu sedang makan sambil disuap isterinya dia melemparkan senyuman kepada Qaisy tetapi Qaisy membalas senyuman orang tua tu ala kadar sahaja.

Wad kelas ketiga. Paling Qaisy tak suka bila perlu berkongsi. Dia mengeluh. Ini kalau daddy dengan mommy tahu memang confirm mereka akan pindahkannya ke wad VVIP. Anak tunggal Tan Sri Yusoff mana layak duduk wad yang berkongsi-kongsi ni. Kena call daddy ni. Desis hati Qaisy sebelum dia kembali memandang keadaan dirinya yang terbatas. Macam mana nak bergerak ni? Gumam Qaisy perlahan. Perlahan-lahan dia mengengsotkan dirinya ke kiri. Tapi tak berjaya… dia mengeluh kecil.

“Susahnya nak bergerak. Macam mana aku nak ke tandas ni? Huh.”

Dalam dia sibuk hendak cuba bergerak, Qaisy tak sedar yang doktor dan Qaiyisha sedang menghampiri katilnya.

“Assalamualaikum, encik Qaisy.”

Qaisy mengangkat pandangan matanya. Doktor muda yang bernama Shahril dipandangnya sekejap sahaja sebelum pandangan matanya terhenti pada Qaiyisha. Lama. Pandangan mereka bertemu tetapi Qaiyisha melarikan matanya ke arah lain. Tak betah nak membalas renungan Qaisy.

“Waalaikumsalam. Bila saya boleh discharged doktor?” belum sempat doktor tanya keadaannya, dia terlebih dahulu menyoal doktor muda itu.

“Saya periksa keadaan encik dulu ya.” Doktor Shahril terus melekapkan steteskopnya pada dada Qaisy dan memeriksa keadaan Qaisy. Usai memeriksa keadaan Qaisy, dia menggantung semula alat itu di lehernya dan mencatit sesuatu di papan rekod kesihatan Qaisy yang tergantung di hujung katilnya.

“Macam mana? Saya tak payah duduk dekat hospital ni lama-lama kan?” soal Qaisy lagi, tetapi doktor muda yang bernama Shahril tadi tak melatah dengan sikap gelojoh Qaisy ni, dia tersenyum.

Qaiyisha yang berdiri tak jauh dengan mereka menggelengkan kepalanya. Dalam diam dia memerhatikan gelagat Qaisy dan buat masa sekarang apa yang dia dapat rumuskan tentang sikap Qaisy adalah lelaki ini seorang yang terburu-buru. Sikap yang paling dia tak suka!

“Alhamdulillah, berita baiknya encik tak ada alami apa pendarahan di bahagian dalam. Cuma bahagian luaran yang teruk sikit. Kaki kanan encik patah sikit dekat bahagian betis sebab terhentak ke dinding longkang dan kami dah simenkan. Paling kurang dua minggu baru encik boleh sembuh.”

Qaisy terdiam. Patah kaki? Mujurlah cuma perlu disemen sahaja… kalau perlu masukkan besi tak ke lagi teruk tu? Qaisy mengucap syukur dalam diam.

“Kalau macam tu saya minta izin dulu, saya perlu periksa pesakit lain pula. Encik Qaisy tolong rehat dengan secukupnya baru cepat sembuh. Puan Qaiyisha, saya harap puan dapat jaga suami puan dengan baik. Kalau ada apa-apa panggil saya. Assalamualaikum.”

Qaiyisha tergamam mendengar kata-kata doktor Shahril. Puan? Suami?!

Sebaik sahaja kelibat doktor Shahril menghilang Qaisy terus menyoal Qaiyisha. “Awak cakap saya suami awak ke dekat doktor tadi?” senyuman gatal tersungging dibibirnya.

Hujung bibirnya digigit lembut. Tak padan dengan leher berbalut dengan penyangga leher ada hati nak menggatal.

Cepat-cepat Qaiyisha menggelengkan kepalanya, menafikan. “Tak, saya tak cakap pun macam tu. Saya dah jelaskan pada doktor yang rawat awak masa awak pengsan tadi yang saya tak kenal pun awak. Tapi doktor tu sibuk, doktor tadi tu doktor lain, dia tersalah sangka sebab dia tak tahu.”

“Betul ke awak tak kenal saya? Kita pernah jumpa, awak tak ingat saya ke?” bertalu-talu soalan Qaisy pada Qaiyisha.

Qaiyisha memandang ke arah lain. Nak mengaku ingat ke tak ni? Tapi kalau nak kata tak ingat memang menipu la sangat kan. Mustahil dia boleh lupa pada lelaki yang tak tahu guna mesin basuh ni. Seumur hidup tak pernah lagi dia jumpa manusia yang tak tahu guna mesin basuh tahap overdose macam lelaki yang terbaring di hadapannya ini. Harap muka sahaja hensem tapi guna mesin basuh pun tak tahu. Epic fail sungguh. Kutuknya di dalam hati.

“Qaiyisha.” Panggil Qaisy.

“Ingat. Nama awak Qaisy kan?”

Bertambah lebar sengihan Qaisy. Dia ingat! Laju sahaja dia hendak mengangguk tapi terlupa dengan keadaan tengkuknya yang berbalut tu.

“Auch.” Dia memegang lehernya dengan tangan kiri.

“Awak jangan la banyak bergerak, nanti lagi banyak tulang awak yang patah.” Qaiyisha terus menghampiri Qaisy. Risau jugak dia tengok mamat ni berbalut teruk. Nasib baik la, doktor cakap patah biasa-biasa sahaja. Kalau patah teruk memang makan nasi guna straw jawabnya Qaisy ni.

“Risau jugak awak dekat saya ya?” entah kenapa senyuman di bibirnya tak mahu nak hilang! Ni mesti sebab Qaiyisha ada depan mata.

“Tak risau tapi kesian. Macam mana yang awak boleh terbabas masuk longkang tadi? Bawak motor ke berangan?” Qaiyisha menarik kerusi yang disediakan di tepi katil Qaisy lalu duduk di situ. Hendak pulang sekarang pun dia tak ada apa nak dibuat di rumah, nak ke kelas pula dah tak sempat. Akhirnya, Qaiyisha memutuskan untuk menemani Qaisy buat seketika.

“Macam mana tak terbabas. Saya asyik tengok awak.”

“Saya?” soal Qaiyisha dengan riak terkejut sambil jari telunjuknya menunding ke dadanya.

Qaisy hendak mengangguk lagi tapi…

“Aduh.” Lupa yang leher tu tak boleh bergerak.

“Boleh tak awak jangan bergerak. Bahaya, tengkuk awak tu nanti patah lagi teruk tau. Ish, dia ni.” Marah Qaiyisha tanpa sedar. Risau pulak tengok Qaisy ni.

Qaisy ketawa. “Sayang juga awak dekat saya ya.”

Mata ke atas. “Saya tak kenal pun awak. Macam mana nak sayang? Saya kesiankan awak je. Tapi kenapa tengok saya?”

“Sebab saya rasa nak tengok la.”

“Boleh tak serius? Dari mula awak sedar sampai sekarang asyik cakap benda merepek je.”

“Mana ada merepek. Tak dengar doktor tadi tu cakap apa? Saya sihat ya, tak ada pendarahan dekat dalam otak ke apa ke macam yang awak cakap tu. Waras lagi, dan semua yang saya cakap memang saya sedar. Saya ajak awak kahwin tadi pun serius.”

Qaiyisha senyum sinis. “Kahwin.” Sepatah disebutnya. Dia memandang Qaisy sebelum menyambung kata. “Do you know my name?”

“Tahu, Qaiyisha.” Yakin Qaisy menyebutnya. Nada bangga habis sebab tahu nama gadis itu.

“Nama penuh?” soal Qaiyisha.

Qaisy terdiam. Matanya diangkat perlahan-lahan membalas pandangan mata Qaiyisha.

“Err… tak tahu.”

Qaiyisha memetik jarinya.

That’s the point. Itu baru saya tanya nama penuh saya dan itu pun awak tak boleh nak jawab. Belum lagi saya tanya awak, saya tinggal dekat mana, ayah saya kerja apa, saya ada berapa orang adik-beradik, saya suka makan apa, kucing kesayangan saya nama apa and bla bla bla so on. To make it simple, awak tak kenal saya and now you ask me for marriage? Rasa-rasa awaklah kan saya akan setuju ke tidak?” soal Qaiyisha dengan wajah comelnya itu memandang ke arah Qaisy sambil menopang dagu di katil sakit Qaisy.

Lama Qaisy terdiam. Dia memandang Qaiyisha.

“Err, tak kut.” Jawabnya dalam terpaksa.

Qaiyisha tersenyum. “Tau takpe.”







BAB 6

Jinak-jinak burung merpati,
Makin mendekat dia menjauh pergi,

Kalau tuan cinta sampai mati,
Hendak memikat perlukan strategi.



“Tapi awak tetap kena bertanggungjawab!”

Qaiyisha yang baru hendak bangun dari kerusi terus terhenti perbuatannya. Dia duduk semula memandang Qaisy.

I beg you pordon? Saya salah dengar ke?”

Qaisy nak menggeleng tapi macam biasa… “Adoi aii…” dia memegang tengkuknya.

“Padan muka.” Kali ni Qaiyisha dah tak kesian. Sebabnya mamat dekat depan matanya ni memang pelik! Tadi ajak kahwin, lepastu cakap dia punca lelaki ni terdampar dekat hospital dan sekarang suruh dia bertanggungjawab pulak? Huh, sorry nak lori! Memang tak jawabnya!

“Sebab awak saya jadi macam ni tau. Sekarang senang-senang awak nak blah macam tu je?”

“Salah saya ke awak tengok saya? Sedangkan saya tak tahu menahu langsung awak yang bawak motor tu dan lalu depan tempat saya berdiri. Awak pun saya tak nampak pagi tadi. Saya cuma nak tolong awak yang jatuh tersangkut dalam longkang. Apa pulak salah saya?” Qaiyisha tak puas hati.

“Salah awak sebab awak dah curi hati saya.” Qaisy sengih.

Mata ke atas lagi. Qaiyisha rasa nak lempang mamat depan mata dia ni

Oh god. Cliché gila ayat tackle. Lagi? Salah saya jugak sebab setiap kali awak terpandang saya, awak nampak cahaya bersinar-sinar disekeliling saya. Macam bidadari turun dari langit kononnya. Itu yang longkang dengan jalan tar pun tak boleh beza, kan?” sinis ya amat suara Qaiyisha. Kalau tadi dia rasa kesian sekarang dia rasa nak sumbat mamat ni dalam mesin basuh! Biar dia tahu mesin basuh tu berfungsi macam mana.

Mata Qaisy tak berkelip memandang Qaiyisha. Rasa macam tak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Macam… macam mana awak tahu? Memang betul setiap kali saya tengok awak, saya nampak awak bersinar-sinar macam bidadari turun dari langit!”

“Ok, that’s it. I’m done with you.” Tangannya terangkat ke atas seperti tanda menyerah kalah. Beg tangannya dicapai dan dia hendak melangkah pergi.

“Rasanya sampai sini je lah pertemuaan kita. Saya memang dah malas nak layan orang yang otak dia ni ada masalah nak bezakan antara dunia realiti dengan fantasi. Bye.” Dia berpaling dari Qaisy.

“Aduh!” Qaisy mengerang kuat.

Qaiyisha yang hendak melangkah pergi terhenti langkahnya. Dia berpaling dan terlihat Qaisy yang cuba bangun dari katilnya. Dia mengeluh kecil. Perlahan-lahan kakinya diatur ke arah Qaisy semula. Dia membantu Qaisy membetulkan pembaringannya di katil.

“Cuba sedar sikit awak ni sakit, buat macam orang sakit boleh tak?” marah Qaiyisha tapi masih dalam nada yang rendah. Kang kalau dia tengking kecik hati pulak.

“Terima kasih… saya tak nak awak pergi. Saya…” kata-kata Qaisy terpotong. Telefon bimbitnya yang Qaiyisha sempat ambil tadi elok terletak di meja sebelah kanan katilnya berbunyi. Qaisy hendak mencapai telefon itu dengan tangan kirinya tetapi terbatas. Qaiyisha membantunya mengambil telefon itu lalu dihulurkan pada Qaisy.

Nama Amir Afro terpampang dan serentak itu Qaisy terfikirkan sesuatu, laju dia menekan butang hijau. “Assalamualaikum.”

“Amboi, sejak bila kawan aku ni pandai bagi salam bila aku telefon? Sejuk hati ni dengar. Alhamdulillah. Ha, waalaikumsalam. Qaisy, kau lambat lagi ke nak balik? Aku nak guna motor ni. Urgent.” Amir macam biasa dengan gaya sempoinya tu menyoal sambil duduk goyang kaki di sofa ruang tamu rumah mereka.

“Mak, along minta maaf mak. Motor tu along tak sempat nak pos balik ke kampung, kena repair dulu. Along accident pagi tadi.”

Kedebuk!

“Apa?!” terjelopok ke lantai terus Amir mendengar kata-kata Qaisy.

“Ya-ya, along tahu salah along. Along cuai. Takpe nanti dah sembuh Along pergi repair motor tu. Tapi lambat sikit ya mak along kena cari duit dulu.”

Qaisy menjeling dengan ekor matanya ke arah Qaiyisha yang berdiri menyilang tangan di sisinya. Tiba-tiba idea kreatif menjelma di mindanya tika itu. Dia menyembunyikan evil smilenya… wajah sayu pula yang ditayangkan pada Qaiyisha.

“Woi! Aku ni Amir. Bukan Puan Sri Rabiah, mak kau! Apa kau dah buat dengan motor aku? Teruk ke motor aku? Qaisy!”

Qaisy mengetap bibirnya, telefon bimbitnya dijauhkan sedikit dari telinga. Amir ni memang nak kena. Macam nak pecah gegendang telinganya dengar jeritan mamat afro ni. “Tak la mak, mak jangan risau. Along luka sikit je. Tapi along kena tahan dekat Hospital Tuanku Ja'afar untuk dua tiga hari ni nak buat pemeriksaan.”

“Qaisy, wad berapa? Motor aku macam mana? Kau hantar dekat bengkel mana? Kau tunggu aku datang sekarang.” Terkocoh-kocoh Amir menyarung seluar jeannya sambil telefon dikepit antara bahu dan telinganya.

“Eh, mak tak payah susah-susah datang. Jauh tu mak Penang dengan Seremban, nanti mak penat duduk dalam bas lama-lama. Tak apa, along ok dekat sini. Ada nurse yang cun-cun boleh tengok-tengokkan along. Lagipun tak la membazir duit tambang bas tu, duit tu boleh guna buat belanja sekolah adik.”

Qaisy, dahsyat betul kau karang skrip. Penang? Belanja sekolah adik? Bravo sangat!

Qaiyisha yang mendengar perbualan Qaisy sedikit sebanyak mula rasa simpati pula.

“Kau apahal, sengal! Aku tahulah kau accident. Tapi tak kan effect teruk sungguh sampai suara jantan aku pun kau tak boleh bezakan, hah!” Amir menjerit buat kesekian kalinya. Terduduk terus jadinya. Teruk sangat ke Qaisy ni accident sampai dia pun Qaisy tak kenal. Entah bila masa si Qaisy ni duduk Penang entah? Siap ada adik lagi tu, bukan dia anak bongsu ke? Ke Qaisy ni ada adik tiri tapi dia aje yang tak tahu? Amir mula rasa tak sedap hati.

“Ok lah, mak nanti kita borak lagi. Along nak tidur kejap. Letih. Mak pun tak payah turun bendang kerap sangat. Mintak tolong Pak Samad buatkan bendang tu. Nanti sakit mak makin teruk pulak.”

Berkerut-kerut dahi Amir mendengar patah kata Qaisy. Pak Samad mana pulak dah ni??

“Qaisy, kau lagi tiga kali jumaat ke ni? Kau jangan la buat aku risau. Mak kau tu Puan Sri Qaisy. Turun bendang pun tak pernah seumur hidup dia, pegang beras pun aku rasa empat bulan sekali. Kau kena amnesia ke? Doktor cakap apa Qaisy?” Suara Amir pulak yang mendayu. Air mata dah bertitik-titik turun. Risaukan si Qaisy ni.

Qaisy menahan ketawanya, dia batuk beberapa kali untuk menyembunyikan tawanya. Sempat lagi Amir mengutuk mummynya yang jarang masuk ke dapur tu. Sabar je la…

“Ya, ya mak. Along ingat pesan mak. Tak akan lupa makan ubat ikut waktu. Nurse dekat wad 7B ni semua efektif dan produktif. Ni sebelah katil along, katil no 4 ni ada pesakit yang baya along. Along ada kawan mak jangan risau.”

“Ok, Hospital Tuanku Ja'afar. 7B, katil no 3. Noted. Kau tunggu aku sampai.”

“Eh, mak… mak. Sekarang dah nak pukul tujuh. Maghrib pun dah nak masuk… waktu melawat hospital pun dah nak habis. Takut tak sempat pulak. Nanti kita borak lagi ya ESOK PAGI. Assalamualaikum.” Qaisy meletak panggilan terlebih dahulu.

Sengaja dia tekankan perkataan esok pagi tu, takut kang Amir datang sekarang habis rosak semua plan menguratnya. Lagipun, rasanya dah cukup dah tu info yang dia bagi dekat Amir. Pandai-pandailah budak afro tu interpret makna lenggok-bahasa-mak-dan-anak yang dia lakonkan tadi.

“Mak awak tak sihat ke?” soal Qaiyisha tenang. Gadis itu kembali duduk.

“Ha’ah… biasalah orang tua senang sakit.” Qaisy memandang ke arah lain. Dia tak tipu Qaiyisha ok, dia main trick je sikit. Mummy dia memang tak sihat pun. Cuma sebab selsema biasa la bukan sebab sakit kronik kanser ke barah ke yang macam dalam kebanyakan drama melayu.

“Oh… sakit apa?”

Qaisy mengetap bibirnya. “Sakit tua. Biasalah kadang-kadang batuk-batuk.” Memang mummy selalu batuk pun dua tiga menjak ni. Sebab selsema tu buat tekak dia rasa gatal!

Qaiyisha mengangguk perlahan, tiba-tiba rasa simpati menerjah dirinya. “Awak ni orang Penang la ya? Tapi tak ada slang utara pun masa cakap telefon tadi.”

Alamak! Qaisy memandang ke tepi sekejap. Aduh, alasan apa nak pakai ni. Manalah dia tahu slang utara bunyi macam mana! Dia main taram je sebut Penang tadi sebab tu negeri utara semenanjung Malaysia. Lagi jauh lagi bagus. Nak sebut Thailand tadi macam over sangat.

“Err, slang Penang saya dah berkarat sikit sekarang. Maklumlah, merantau dekat sini lama kan. Sampaikan dah terbiasa cakap KL. Tapi mak saya faham je. Kadang-kadang tu bila saya call tanya khabiaq… err, khabaq dia sihat ka dak. Dia ok je.” Qaisy memaling ke kiri sikit. Mukanya berkerut menahan rasa. Aduh, pelik benar bunyi slang utaranya tu. Konon nak bagi real sikit lakonannya cakap utara. Kena balik menuntut ilmu bahasa Penang dekat Zubair ni.

“Biasalah tu. Ermm, awak langsung tak ada saudara-mara ke dekat sini? Boleh saya tolong call diorang.” Qaiyisha menawar diri.

“Tak ada. Semua jauh. Saya duduk sini sorang-sorang je.” Pilu gila ayat. Qaisy memandang ke atas pulak.  Konon tengah tahan sebak duduk dekat perantauan seorang diri. Kali ni pun dia tak tipu Qaiyisha jugak ya, cuma tak berterus-terang je. Pak Long dengan Pak Su dia memang tinggal dekat sini tapi sekarang semua tengah bercuti dekat luar Negara. So, betullah tu ayat Qaisy… ‘semua jauh’.

“Ooo, ok.” Qaiyisha menunduk menekur lantai.

“Awak, saya balik dulu ya. Waktu melawat dah habis.” Qaiyisha dah bangun dari kerusinya.

“Esok datang lagi sini tak?” soal Qaisy, wajah kesian, sayu, pilu dan mengharap ditunjukkan. Kenapalah waktu melawat dekat hospital tak dilanjutkan sampai esok pagi je?

“Err, insyaallah.” Qaiyisha tersenyum segaris. Dia tak berani nak berjanji.

“Ok, saya tunggu ya.” Ceria sekali wajah Qaisy.

“Assalamualaikum.” Qaiyisha meninggalkan katil Qaisy bersama-sama pelawat yang lain. Tepat pada masanya, para pelawat yang lain pun dah mula beransur.

“Waalaikumsalam.” Qaisy menghantar Qaiyisha dengan pandangan matanya sehingga ke muka pintu. Qaisy melepaskan satu nafas berat bila matanya kembali memandang keadaan sekelilinganya. Nampak gayanya rancangannya nak call daddy terpaksa dibatalkan sama sekali. Dan nak tak nak terpaksa la dia bertahan di wad ni walaupun tak rela. Semuanya demi Qaiyisha. Besar harapan Qaisy yang Qaiyisha akan datang melawatnya esok.

Datang la esok Qaiyisha. Saya dah rindu nak tengok wajah awak… bisik hati Qaisy. Matanya terpejam.

“Tu awek ke bini lu bro?” pesakit lelaki di katil sebelah yang sebaya dengannya menegur.

Terbuka matanya, Qaisy senyum senget kepada pesakit di sebelahnya. “Bakal Bini.”

“Lawa.”

“Puji boleh, usya jangan. Bukan apa, gua confirm lu tak nak makan nasi pakai straw kan?” mendalam kata-kata Qaisy yang berbaur amaran itu.

Lelaki itu ketawa besar. “Haha, cemburu buta jugak lu ni. Jangan risau gua bukan jenis yang caras member punya awek. Gua lelaki gentlemen tapi lain la kalau awek lu yang berkenan dekat gua. Gua jenis tak tolak rezeki.”

Qaisy turut juga ketawa kecil. Melayan rentak lelaki itu berbicara.

“Qaisy.” Qaisy memperkenalkan dirinya.

“Ziyad tapi orang panggil King.”

Terangkat kening Qaisy. “King? Queennya mana?”

King ketawa. “Queen kat rumah… jaga anak-anak.”


La, budak rempit ni dah kahwin ke? Haish, jodoh ni betullah rahsia tuhan. Agak-agak Qaiyisha tu jodoh dia ke?



To be continue....


---------------

TK: Best bagitau kawan... Tak best bagitau saya. Nanti saya betulkan tang mana yang tak best tu. Ok, boleh? Heee... terima kasihhhh!