23 June 2019

Cerpen: Hanya Sementara



Hanya Sementara

Cahaya kelip-kelip ku sangka api,
Bersinar indah tapi sementara,
Ku harap berkekalan hingga akhir nanti,
Rupanya bahagia menjengah sementara.

Bibir Marwan dengan senyuman seakan tiada berpisahnya, dia terhibur melihat tubuh kecil di hadapannya itu bergerak-gerak. Walhal si kecil itu cuma menguap sahaja, tapi senyumannya sudah melebar hingga ke telinga. Walaupun terhadang dengan cermin inkubator tapi itu tak menghalang Marwan daripada terus merakam aksi anak perempuannya yang baru sahaja dilahirkan itu menggunakan kamera telefon bimbitnya. Apabila si kecil itu tiba-tiba menjungkitkan sedikit hujung bibirnya yang membuatkan dia kelihatan seperti sedang tersenyum. Makin melebar senyuman si ayah.

“Comelnya anak ayah ni, tambah-tambah bila sayang senyum macam ni sama macam ibu,” ujar Marwan. Kemudian dia menyimpan semula telefonnya ke dalam poket seluar dan setelah memastikan tangannya bersih, dia memasukkan tangannya melalui salah satu lubang di inkubator itu untuk menyentuh anaknya. Kata doktor, sentuhan daripada ibu boleh menimbulkan rasa tenang pada bayi yang lahir pramatang.

“Ibu tak ada nak pegang sayang, ibu tengah sakit sekarang. Tak apa, biar ayah pegang sayang dulu. Nanti bila ibu dah bangun dan sayang pun dah boleh keluar dari sini, ayah bawa sayang jumpa ibu, ya. Ibu mesti seronok dapat jumpa sayang.” Tangannya mengelus lembut tangan halus anaknya. Mengharap sedikit kekuatan mampu disalurkan pada anaknya.

“Ayah tahu anak ayah kuat, sama macam ibu sayang... janji dengan ayah ya. Kita jumpa ibu sama-sama.” Marwan terus setia di sisi anaknya, kerana dia sedar setiap detik sangat berharga. Dan tatkala memikirkan isterinya yang masih belum sedarkan diri selepas melahirkan anak mereka, Marwan jadi galau. Senyumannya tiba-tiba hilang. Hatinya tak putus-putus berdoa semoga isteri dan anaknya tak apa-apa.



Selimut separas dada dilurutkan sedikit ke bawah, tangan isterinya yang terkulai layu itu dicapai lembut. Perlahan-lahan Marwan mengelap bahagian tubuh isterinya yang terdedah dengan kain lembap. Beberapa kali dia mengulangi perbuatan itu.

“Sayang, abang baru balik dari tengok anak kita. Aktif betul dia hari ni. Macam-macam gaya dibuatnya kemudian dia senyum dekat abang. Cair hati abang tengok. Cantik sangat macam senyuman sayang,” puji Marwan sambil tersenyum.

Kemudian wajah lesu isterinya yang semakin cengkung diusap penuh kasih sayang. “Bangunlah, Safwa. Janganlah baring lama-lama macam ni. Safwa tak nak tengok anak kita ke? Abang bawa Safwa tengok anak kita, ya.” Juntaian rambut Safwa di dahi dibetulkan.

“Kalaupun Safwa tak kesian dekat abang, kesianlah dekat anak kita. Lama dia tunggu Safwa datang jumpa dia, susukan dia… peluk dia.” Nada suara Marwan kian bergetar. Semakin hiba apabila teringatkan perbualannya dengan doktor yang merawatkan anaknya sebentar tadi. Perkhabaran yang hampir meragut kewarasannya. Jantung anaknya yang dijangkiti kuman semakin lemah. Doktor tak mampu memberi jaminan anaknya boleh bertahan lebih lama, mereka meminta Marwan supaya bersedia apa adanya.

Sementelah isterinya pula, masih belum sedarkan diri dan tak menunjukkan apa-apa tindakbalas positif. Marwan jadi nanar… adakah dia bakal kehilangan kedua-dua perempuan yang berharga dalam hidupnya sekelip mata?



Safwa menggerakkan kelopok matanya, perlahan-lahan. Terasa pedih matanya apabila cahaya lampu yang terang itu seakan-akan menyucuk matanya. Sebaik sahaja, dia mampu memandang sekelilingnya, bibirnya menguntum senyuman melihat suaminya sedang menggengam erat tangan kirinya sambil menunduk, genggaman tangan mereka dijadikan sandaran wajahnya.

“Abang…” serak suaranya memanggil Marwan. Mata Marwan terbuka saat mendengar suara lemah itu. Lantas wajah isteri dicari.

“Safwa, sayang dah sedar. Abang panggilkan doktor ya, sayang tunggu sekejap.” Marwan sudah berkira-kira hendak meninggalkan isterinya tetapi pegangan tangan Safwa yang lemah itu menghalang dia dari pergi. Isterinya itu menarik lembut tangannya.

“Abang, mana anak kita? Safwa nak tengok dia,” pinta Safwa. Itu perkara pertama yang terlintas dalam benak fikirannya. Anaknya! Wajah pucat Safwa kelihatan manis dihiasi senyuman. Dengan susah payah dia cuba untuk duduk tapi dihalang Marwan.

“Safwa baru sedar, jangan bangun lagi. Baring ya,” pujuknya tanpa menghiraukan soalan isterinya.

“Anak kita tak apa-apakan? Mana dia? Safwa nak tengok anak kita, mesti comelkan, abang?” Safwa tertawa kecil, bahagia memikirkan bakal berjumpa anaknya.

“Safwa…” seru Marwan perlahan. Safwa jadi kaget melihat tingkah suaminya, dia cuba meraih tangan suaminya yang berdiri di sisinya.

“Mana dia?” tubir matanya terasa hangat. Seolah dapat meneka apa yang bakal keluar dari bibir sang suami.

Terasa berat lidah Marwan hendak menolak patah kata untuk keluar dari bibirnya. Bagaimana dia harus sampaikan khabar berita ni pada isterinya. Sungguh, saat ini sangat menguji dirinya. Marwan merapati isterinya lalu tubuh sang isteri dipeluk erat. Ubun isterinya dicium penuh kasih sebelum dia berbisik pada Safwa.

“Anak kita…” Marwan tahan sebak. Ayatnya tergantung.

Safwa menanti penuh sabar.

“Anak kita, dia tunggu kita disana sayang.” Selembut mungkin nadanya menyampaikan perkhabaran sedih itu kepada isterinya.

Hati Safwa bagaikan direntap lantas matanya pantas mencari anak mata suami yang jelas berkaca. Mencari kebenaran di sebalik mata redup suaminya.

“Anak kita dah meninggal sayang. Allah lebih sayangkan dia.”

Tiada suara, cuma air mata yang mengalir di pipi Safwa. Bawah bibir digigit menahan sedih di hati.

“Abang bawa Safwa jumpa dia ya. Nanti kita pergi melawat rumah anak kita ya sayang.” Serasa tak terluah perkataan kubur itu dari bibirnya. Lalu digantikan dengan perkataan rumah. Rumah tempat anak mereka berteduh sekarang.

Safwa mengangguk perlahan. Wajahnya tak beriak, hanya air mata yang mengalir membasahi pipinya.

Wajah sugul Safwa yang diam tak berkutik betul-betul meruntun hati. Kali ini sungguh Marwan tak mampu menahan lagi air matanya. Empangan air matanya pecah. “Abang minta maaf, sayang. Safwa tak sedarkan diri selama empat hari. Abang terpaksa buat keputusan untuk kebumikan anak kita sebelum Safwa sempat jumpa dia…”

Perkhabaran kedua ini lebih menyayat hatinya. Dia tak sempat berjumpa apatah lagi memegang anak yang dia nantikan bertahun lamanya. Bibir Safwa bergetar, renungan matanya kosong, tubuhnya mula menggigil. Dirinya seakan hilang kawalan, dia tak mampu berfikir lagi.

Melihat keadaan Safwa, Marwan mengeratkan lagi pelukannya. “Abang minta maaf, Safwa. Abang gagal jaga sayang, abang gagal lindungi anak kita…”

“Abang, Safwa mengantuk… Safwa nak tidur,” pinta Safwa secara tiba-tiba sekaligus memotong bicara Marwan setelah lama mendiamkan dirinya. Dia menolak perlahan tubuh Marwan supaya menjauh. Tubuhnya dijatuhkan semula ke atas tilam perlahan-lahan sebelum selimut ditarik hingga ke paras dada. Matanya dipejamkan, hanya kelihatan air matanya mengalir di pipi tanpa sebarang suara atau esak tangis.

Marwan jadi keliru dan risau melihat tindak balas isterinya. Dia jangkakan Safwa akan meraung semahunya, dia sudah bersedia menghadapinya tapi Safwa yang dihadapannya sekarang sebaliknya. Marwan mati akal.



Marwan menolak daun pintu bilik tidur mereka dengan perlahan, berhati-hati dia menapak mendekati Safwa yang sedang berbaring mengiring di atas katil sambil merenung ke luar jendela. Duduknya dilabuhkan di birai katil.

“Safwa, abang bawakan bubur untuk Safwa, bangun ya. Jamah sikit makanan ni,” pujuk Marwan. Namun tak mendapat respon daripada Safwa, isterinya itu hanya mendiamkan diri. Sejak pulang dari hospital minggu lalu Safwa langsung berubah menjadi orang lain, dirinya semakin tidak terurus. Dia enggan makan, perut kosong itu hanya dialas dengan air suam. Bercakap apatah lagi.

Mujur sahaja Marwan mampu bersabar melayani kerenah Safwa. Emaknya sendiri berpesan, waktu sekarang ini Safwa perlukan lebih perhatian terutamanya daripada suaminya sendiri. Jadi Marwan sebagai suami perlu banyak bersabar dan tabah. Walaupun dia turut sama berduka akan kehilangan anak mereka, mana mungkin sama dengan perasaan kehilangan yang isterinya tanggung. Safwa yang kandungkan anak mereka dan lebih menyedihkan Safwa tak sempat pun berjumpa dengan anak mereka.

Belakang tubuh isterinya itu dipandang penuh sayu. Walaupun tiada suara yang kedengaran tapi Marwan tahu isterinya itu sedang menangis. Tubuh Safwa bergerak-gerak seakan-akan dia sedang menahan esak tangis.

“Abang, anak kita dah tak ada. Anak kita dah mati…” dalam keadaan membelakangkan Marwan, Safwa bersuara.

Marwan menggigit bawah bibirnya. “Safwa…” panggilnya perlahan.

“Allah hukum Safwa ke abang? Ni balasan sebab Safwa tak pandai jaga amanah yang dia bagi dekat Safwa. Safwa cuai, sepatutnya Safwa hati-hati masa turun tangga hari tu tapi… anak kita yang jadi mangsa.”  Esaknya makin kuat.

“Shhh…” Marwan memeluk belakang tubuh Safwa yang terhinjut-hinjut dek tangisan. Tangisan Safwa yang mulanya tadi tak kedengaran sekarang kian menggila.

“Bukan salah Safwa, kita tak tahu benda nak terjadi. Sayang, Tuhan tak pernah salah hukum. Yang salah itu manusia bila dia salah tafsir ketentuan hidupnya. Tuhan ambil anak kita bukan sebab nak hukum Safwa bukan juga abang tapi sebab DIA tahu kita kuat terima ujian ni. Sebab tu DIA hadiahkan kita anak syurga. Kita untung, anak kita dah tunggu kita dekat sana.”

Safwa mengongoi…

“Safwa, abang faham sayang sedih. Abang ayahnya. Abang pun sedih. Kita sama-sama tunggu dia enam tahun lamanya, kita sama-sama nantikan kehadiran dia.”

Safwa berpaling menghadap Marwan. Suaminya itu, membetulkan juraian rambutnya yang jatuh menutupi dahinya.

“Jadi abang minta sangat-sangat dekat sayang, tolong jadi kuat. Sama-sama kita kuat terima dugaan ni. Sayang tolong abang juga, tolong abang supaya terima dengan redha pemergian anak kita. Biar dia tenang dekat sana. Kalau anak kita tahu ibu dia selalu menangis, makan pun tak… mesti dia sedih. Safwa nak ke anak kita sedih?” Pujuk Marwan lagi.

Dalam esaknya, Safwa mengelap air mata di pipi dengan belakang tapak tangannya, dia menggelengkan kepalanya perlahan. Tak, dia tak mahu anaknya bersedih.

Marwan tersenyum. “Walaupun jasad anak kita tak ada dengan kita tapi kenangan dia sentiasa hidup dalam hati kita. Ingat tu,” pesan Marwan buat Safwa tapi untuk dirinya juga.

Safwa mengangguk kepalanya, sebelum menghilangkan diri dalam dakapan suaminya.



Enam bulan kemudian…

“Sayang, baju melayu abang mana?” Soal Marwan yang baru selesai mandi pada Safwa yang sedang sibuk menghidangkan juadah hari raya di dapur. Terhenti tangan Safwa daripada menyusun ketupat di atas pinggan.

“Ada dalam almari baju. Safwa lupa nak keluarkan tadi.” Safwa menepuk dahinya atas kealpaannya. Tertawa kecil Marwan dengan keletah isterinya.

“Memandangkan sayang yang terlupa, sayang tolong ambilkan untuk abang boleh? Terima kasih.” Matanya dikenyitkan pada Safwa.

“Abang ambil sendiri pun bolehkan?” Meleret suaranya meminta encik suami berdikari. Bukan nak mengelat tapi tengah sibuk menghidang lauk, tak menang tangan pagi raya ni.

“Ala, nak manja-manja dengan isteri abang yang cantik ni,” usik Marwan. Yang sebetulnya itu strategi. Marwan terlupa baju melayu mana satu yang patut dia pakai pagi raya ni. Bila dia buka almari baju tadi ada dua tiga warna baju melayu untuk raya mereka yang Safwa sediakan. Kalau dia tersilap pilih tema nanti dah tak sedondon baju mereka, bebel panjang isteri tercintanya. Memang tak dia nak tukar balik kalau tersalah pilih warna. Iyalah nak tangkap gambar cantik-cantik, letak dekat Instagram, nak #OOTD lagi. Jangan ambil risiko!

“Manja!” Safwa membalas usikan suaminya itu dengan mencubit manja lengan suaminya. Si suami mengaduh sakit yang dibuat-buat sebelum ketawa mereka berdua meletus.

Pintu almari pakaian mereka dibuka, tangan Safwa laju mencapai baju melayu Marwan yang elok tergantung dalam almari. Ketika tangannya menarik keluar baju melayu Marwan, matanya tertancap pada gaun putih yang tergantung di dalam almari, gaun yang dibalut rapi dengan plastik itu dicapainya.

Safwa duduk dibirai katilnya. Gaun putih kecil itu diangkat tinggi lalu didekatkan pada wajahnya. Dicium penuh rasa rindu sebelum dipeluk erat baju kecil itu. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang, hatinya menggila semula dan jiwanya mula merindu. Raya kali ini sepatutnya mereka bertiga, sepatutnya ada tangisan bayi di rumah mereka, sepatutnya gaun-gaun comel yang dia sudah sediakan itu disarungkan pada tubuh kecil anak mereka… sepatutnya…

“Sayang, mana baju...” terhenti soalan Marwan.

Cepat-cepat Safwa mengelap air mata yang mula membasahi pipinya.

“Ada-ada. Safwa baru nak bawa keluar.” Safwa lekas-lekas mengukir senyuman. Baju gaun putih tadi dengan cepat disembunyikan di bawah bantal tidur. Safwa segera mendapatkan Marwan lalu dihulurkan baju melayu tersebut sebelum dia menghilangkan diri disebalik pintu.

Tanpa sedar keluhan terlepas dari bibir Marwan. Walaupun sudah hampir enam bulan kepemergian anak mereka tetapi jiwa isterinya belum pulih sepenuhnya, cuma Marwan yakin isterinya semakin boleh terima kenyataan. Cuma Safwa perlukan masa lagi.

Sebaik sahaja dirinya lengkap berbaju melayu, Marwan terus ke ruang tamu rumah mereka dan tika itu matanya terarah pada Safwa yang sudah lengkap bertelekung sedang ralit melayan telefon bimbitnya sambil tersenyum-senyum seorang diri. Terus dia mendapatkan isterinya.

“Tengok apa tu sayang? Sampai tersenyum seorang-sorang.”

Safwa mengangkat pandangan matanya. Lantas ditarik tangan suaminya supaya lebih mendekat dengannya.

“Tengok anak kita.”

Marwan terdiam.

“Jangan risau, Safwa okeylah. Cuma, tiba-tiba Safwa rindu dekat anak kita ni.”

Marwan tarik senyuman lega, dia turut melihat rakaman video anak mereka. Selepas sahaja lahir, doktor tempatkan anak mereka dalam inkubator sebabnya anak mereka itu lahir pramatang. Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tapi anak mereka aktif menggerakkan tangan dan kakinya. Marwan tersenyum teringatkan kenangannya bersama anak mereka.

“Sayang nak tahu tak, anak kita ni kuat orangnya. Masa dia baru aje lahir, doktor dah bagi petanda dekat abang yang dia cuma boleh bertahan sejam dua sahaja selepas lahir. Tapi kuasa Allah… anak kita mampu bertahan sampai dua hari. Lebih lama berbanding jangkaan doktor. Cuba sayang bayangkan tubuh kecil tu sedaya upaya melawan sakit dia. Allahuakhbar.” Sungguh-sungguh Marwan bercerita. Walaupun kejadian itu sudah lama terjadi, tapi Marwan rasakan seperti baru semalam detik itu dia lalui.

Safwa tersenyum. “Mestilah, dia kan anak Safwa. Kenalah kuat macam Safwa.”

Marwan menjuih bibirnya. “Aiceh, Safwa hati tisu. Anak kita ikut perangai abang. Jiwa kental.” Lengannya dibuat gaya ahli bina mununjuk otot. Safwa ketawa melihat telatah suaminya. Safwa kembali mengalih matanya pada skrin telefon.

Tiba-tiba Marwan bersuara, “Mujur… mujur Allah hadiahkan tempoh dua hari buat kita. Abang bersyukur sangat-sangat.” Nada Marwan bertukar rendah. Terbayang-bayang tubuh halus itu berselirat dicucuk dengan pelbagai wayar. Lemah hati ayahnya melihat keadaan anaknya. Mungkin itu hikmahnya, anak mereka pergi sebelum sempat Safwa berjumpa dengannya. Mungkin tuhan lebih tahu yang Safwa tak cukup kuat nak berdepan dengan keadaan anak mereka ketika itu.

“Abang minta maaf sebab tak mampu nak tunggu hingga Safwa sedar diri. Urusan pengebumian anak kita pula tak boleh nak ditangguhkan, jadi rakaman video ini sahaja kenangan dia yang mampu abang berikan pada Safwa,” ujar Marwan.

“Abang, tak perlu minta maaf. Mana-mana ayah pun kalau mereka dekat tempat abang, mereka akan buat benda yang sama macam abang. Terima kasih sebab abang berikan kenangan ni pada Safwa. Ini kenangan, harta yang paling bernilai anak kita buat Safwa.” Safwa tersenyum manis pada suaminya, cuba mengusir rasa terkilan suaminya. Bukan salah suaminya, bukan salah siapa-siapa. Ini semua takdir. Takdir yang anaknya pergi tanpa mereka sempat berjumpa.

Mereka saling berpandangan dan Marwan membalas senyuman Safwa.

“Safwa rasa Safwa dah sedia,” tutur Safwa.

“Sedia, maksud Safwa?” Soal Marwan. Keningnya terjongket ke atas sebelah.

“Sedia nak ‘berjumpa’ anak kita.” Yakin nada Safwa. Safwa lukis senyuman dibibirnya. Tak seperti enam bulan yang lalu. Tatkala Marwan mengajak dia ziarah kubur anak mereka, dia menolak. Bukan tak ingin tapi dia tahu hatinya belum cukup kuat.

Marwan merenung mata Safwa mencari kepastian. “Betul ni?  Safwa betul yakin? Tak perlu paksa diri.  Kita ada banyak masa lagi,” pujuk Marwan

Safwa mengangguk kepalanya berkali-kali sambil tersenyum. “Betul. Sangat yakin. Kejap lagi lepas sembahyang raya kita ‘jumpa’ anak kita, ya?” Lantas lengan Marwan dipegang. Kali pertama hendak ‘berjumpa’ dengan anaknya. Tak sabar hatinya rasa.

Sayang, ibu datang ni.



Lampu meja kerjanya dihidupkan dan Safwa menarik laci meja tersebut, tangannya mencapai diari berkulit putih gading itu. Hati-hati dia menyelak helaian demi helaian diari yang sudah lama tidak dibuka itu. Terhenti selakannya di satu muka surat. Bibirnya menguntum senyuman manis. Tangannya mengusap gambar ultrasound anaknya yang ditampal di helaian itu.

Tatkala itu terdetik di hatinya, ingin mencoret sesuatu buat anaknya. Lantas kertas berwarna ungu lembut ditarik. Sengaja warna itu dipilih, simbolik kasih sayangnya buat anaknya. Digenggam kemas pena bermata bulat itu dan seperti memahami gelodok jiwa Safwa, laju mata penanya berlari di atas kertas tersebut berkongsi rasa yang udah lama tersimpan di hati.

Istimewa buat Puteri ibu,

Sofea Medina Binti Mohd Marwan.
Kadang-kadang terdetik di hati ibu, kenapa ibu tak berpeluang dengar ketawa dan tangisan Sofea? Sedangkan lama ibu dan ayah tunggu sayang dalam hidup kami. Enam tahun, Sofea. Enam tahun kami tunggu Sofea. Tapi rupanya tuhan dah takdirkan cuma tujuh bulan sayang hidup di dalam rahim ibu dan cuma dua hari sayang mampu bernafas di dunia. Satu tempoh yang sangat singkat, Sofea.
Tapi ibu percaya, Allah ambil Sofea lebih awal ada sebabnya. Mungkin Allah nak ibu jadi ibu yang lebih kuat untuk adik-adik Sofea dan kalaupun ibu ditakdirkan ada anak lain, ibu tak akan pernah lupakan sayang. Sofea tetap di hati ibu.

Cuma ibu nak Sofea tahu yang Sofea adalah ‘Pinjaman’ tuhan paling bernilai buat kami. Pinjaman yang indah walau sementara. Ibarat indah cahaya kelip-kelip yang bersinar sementara tapi keindahan itu berkekalan di hati si pemerhati.
Walaupun ibu tak sempat bertentang mata dengan Sofea, ibu tak berpeluang nak susukan Sofea, apatah lagi untuk dukung dan belai Sofea. Tapi ibu bersyukur sangat untuk bahagia sementara yang Allah kurniakan buat ibu dengan ayah. Sekurang-kurangnya ibu dan ayah tahu yang kami pernah diberi peluang menjadi ibu dan ayah kepada Sofea Medina.

Sofea, ibu minta maaf sebab lambat datang ‘berjumpa’ sayang. Baru sekarang ibu ada kekuatan untuk berhadapan dengan sayang. Tapi ibu janji, lepas ni ibu akan lebih kerap jumpa sayang, hadiahkan al-fatihah untuk Sofea dan bersihkan rumah Sofea selagi hayat dikandung badan. Cuma janji dengan ibu… Sofea tunggu ibu dengan ayah dekat sana ya, sayang.
Yang sentiasa merindu,

Ibu Sofea - Safwa Nerina


Safwa menghentikan tulisannya. Bawah bibirnya digigit lembut, air mata yang mengalir di pipi dibiarkan sahaja jatuh tanpa disapu. Kertas yang berisi rasa jiwanya itu dilipat dua lalu diselitkan dalam diarinya. Safwa menutup diari itu lalu didakap erat dalam pelukannya. Membayang tubuh halus Sofea dalam dakapannya.

Cahaya kelip-kelip ku sangka api,
Bersinar indah tapi sementara,
Ku harap berkekalan hingga akhir nanti,
Rupanya bahagia menjengah sementara.

Hati Safwa tenang tika itu, dirinya sendiri tertanya-tanya mungkinkah kerana dia benar-benar telah merelakan kepermergian anaknya itu dengan hati yang ikhlas?

Ya, itu jawapannya.

Ibu ikhlas Sofea pergi.



TAMAT

Nota Kecil: Cerita ni, dah lama saya karang… tapi baru sekarang hendak dikongsi dengan pembaca. Sejujurnya, saya sangat terkesan dengan kisah orang disekeliling saya yang kehilangan anak mereka. Ada yang sesetengah daripada mereka menantikan zuriat bertahun lamanya. Tapi apabila dikurniakan tuhan cuma pinjamkan sementara. Sedih, tapi siapa kita untuk pertikaikan takdir?

Kadang, saya hendak katakan kepada mereka. Mungkin inilah yang terbaik ALLAH S.W.T dah aturkan buat kau, ALLAH lebih tahu kalau anak ini hidup mungkin kau masih belum bersedia sebagai ibubapa, atau mungkin anak itu satu hari nanti akan merunsingkan hidup kau kelak. Kita tak tahu…tapi acap kali itulah, lidah terikat rapat. Tak berani nak kata berlebihan takut hati yang mendengar terguris. Kita cuma melihat tapi yang menanggung yang rasa perit kehilangan. Hanya takziah yang mampu dizahirkan.

Buat pembaca yang pernah kehilangan… saya harap anda bertabah dengan ujianNYA. Takkan diuji diri itu melainkan tuhan tahu awak mampu menghadapinya. Dan semoga DIA memberi ganti kepada yang telah pergi itu.

16 October 2017

Rindu Bertamu

Assalamualaikum dan selamat petang... *lempar senyum.

Cuma nak berkongsi rasa. Saya rindu hendak menulis, rindu hendak mengarang, rindu nak baca komen2 orang pada karya saya yang tak seberapa tu.

Tapi kekangan masa.

Diri ni cepat sangat letih, sentiasa ada sahaja alasan hendak melengah masa. Maaf ya.

Doa2kan untuk saya.

Insyaallah, kalau ditakdirkan bakat menulis itu masih ada, moga adalah karya saya yang seterusnya. Lama sangat saya biar diri menghilang...


Image result for writer's dilemma

26 October 2016

WHY KAU JELITA? Review - Perpustakaan Negeri Perlis.

Exactly what I wrote. In short story of course. hehe


P/s: Orang tanya kenapa tajuk Kau Jelita?? Nisa tu bukanlah cantik mana pun. Tak jelita macam akak mawar fareeda yang mata bulat tu. (serius bini fizo omar lawa). Yalah, kan saya describe dia biasa-biasa saja… jawapannya. Jelita yang saya cuba sampaikan dekat sini = Rupa yang menarik dan menimbulkan rasa suka apabila dipandang. Mak cik jual kerepek pun boleh jadi jelita kalau rupa dia sedap mata kita memandang… gitu ha… Kan ke Luth suka pandang Nisa. Dia rasa Nisa tu menarik dan mata dia macam ada magnet asyik tertarik2 nak pandang Nisa. Ahaks…

1 January 2016

P.A.P.A 7




BAB 7


Tepat pukul 9 pagi Amir dah merempit Sedan milik Qaisy ke Hospital Tuanku Ja'afar. Amir bersiul-siul kecil sambil menapak masuk ke ruang bilik sakit yang Qaisy ditempatkan bersama-sama pesakit lain. Sambil membetulkan remos afronya yang mengembang macam belon ditiup angin sempat lagi dia mengeyit mata pada nurse yang berada di situ.

Qaisy yang ternampak kelaku sahabatnya tu, cuma mampu membuat riak muka menyampah sahaja. Mata ke atas kaki ke muka! Nak menggeleng kepala tak boleh. Sempat lagi mamat afro ni mengurat nurse-nurse dekat sini. Dasar buaya tembaga betul kawannya yang seorang ni.

Tapi yang ajaibnya tu, boleh pulak nurse-nurse yang Amir layangkan flying kiss tu tersipu-sipu malu. Pelik betul Qaisy dengan Amir ni. Ilmu apalah yang dia pakai sampaikan semua perempuan boleh sangkut dekat dia ni. Nak kata ada rupa… Ramasamy pak guard  dekat taman Seremban 3 tu jauh lebih menawan. Duit? Bab ni tak payah cakap la… Qaisy dah macam banker bergerak dia.

Betullah orang cakap, biar muka pecah rumah janji ayat mau manis tahap kilang gula! Bukti dah terhidang depan matanya. Agaknya sebabkan personaliti si Amir yang gila-gila dan pandai berjenaka itu yang menjadi bonus buat dirinya.

Qaisy tersenyum.

“Assalamualaikum, ya ahli kuburrrrr.” Amir mengangkat tangannya kepada Qaisy.

Qaisy menjuihkan bibirnya ke katil sebelah kanannya yang masih kosong itu. “Kau nak isi katil kosong sebelah aku ni ke bagi salam macam tu?”

“Ala, rileks brother. Gurau senda pagi-pagi jumaat. Kalau aku duduk tepi kau ni, habis siapa yang datang melawat kau bawak makanan. Takde kan? Ha, aku jugak.”

Bibir Qaisy mencebik. “Waalaikumsalam.” Salam Amir tadi dijawabnya walaupun berbulu jugak hati ni. Malas nak melayan bicara Amir yang suka sangat merepek meraban tu.

“Ni aku ada bawakkan buah epal untuk kau.” Satu plastik yang berisi buah epal diangkat tinggi, ditunjukkan pada Qaisy.

“Buah epal je? Nasi ke bubur ke takde?” soal Qaisy.

“Eh, kau kan sakit. Kenalah makan buah-buahan banyak-banyak, baru cepat sembuh. Nasi dengan bubur tu kan hospital dah sediakan. Aku bawaklah benda yang aku rasa sedap.” Amir as usual, penuh dengan seribu satu alasan tak munasabahnya itu.

“Banyaklah alasan kau. Potong la buah tu cepat.”

“La, nak kena potongkan ke? Kau ambik makan sebijik terus macam selalu tak boleh ke? tangan kau sebelah aje yang bersimen, sebelah lagi ok kan.” soal Amir sambil menghulurkan sebiji buah epal merah kepada Qaisy dengan muka ala-ala tak bersalah ditayangkan.

Qaisy menjegil matanya kepada Amir. “Potonglah! Aku sakit ni, macam mana nak gigit. Ada jugak manusia yang aku gigit dekat sini kang.”

“Angin je kau ni sejak-sejak masuk hospital, ya. Nak bergurau manja sikit pun tak boleh.  Yalah-yalah aku potong.” Malas-malas Amir bangun dari duduknya dan menuju ke bilik air yang disediakan untuk membasuh buah epal yang dibawa tadi. Sekembalinya dari bilik air, dia mencapai pisau yang dibawa bersama tadi, lalu dengan gaya gangsternya sebagai anak teruna dia memotong buah epal tadi. Sekeping dihulurkan kepada Qaisy, empat keping masuk mulutnya. Sekeping diberikan pada Qaisy, lima keping masuk mulutnya.

“Beli mana buah epal ni?” tanya Qaisy.

“Tak ah, mana ada beli. Aku ambil dalam peti sejuk dekat rumah kita je.”

Qaisy memandang Amir yang sedang menyuap buah epal yang dipotongnya tadi ke dalam mulut dengan hujung ekor matanya.

“Dah agak dah.” Gumamnya perlahan. Kenapalah aku nak tanya soalan tu dekat dia? Padahal aku dah tahu jawapannya siang-siang lagi. Bebelnya sendiri.

Qaisy tersenyum pendek dengan telatah kawannya yang sorang ni.

Dengan mulut yang masih penuh dengan buah epal, Amir mula bercakap meluahkan rasa hairan yang bersarang dalam mindanya sejak semalam. “Aku peliklah, macam mana kau boleh terbabas ke longkang tu semalam? Aku rasa jalan dekat depan flat Rasah tu sikit punya lebar. Dua lane kut… kau tengok jalan guna mata ke guna hidung mancung kau tu?”

Muka Qaisy cool sahaja. Dah tahu dah soalan tu yang akan menjelma keluar dari mulut sahabatnya itu. Tangan kanannya menggamit pada Amir meminta buah epal lagi. Amir memberi sepotong kepadanya.

“Tak ada yang peliknya. Dah nak accident. Accident je la.” Buah tadi dimasukkan ke dalam mulutnya.

“Eleh, mengaku jelah yang kau seronok sebenarnya kan motor kau masuk bengkel. Bolehlah kau rempit sedan aku selalu kan?” sambungnya lagi.

“Kau tak baik buruk sangka dengan aku. Walaupun tu hakikatnya, tapi motor kapcai tu je lah harta aku dunia akhirat. Ni dah motor aku masuk bengkel mesti kau nak guna sedan kau balik kan? Aku bukan kaya macam kau, sedan masuk hospital ada lagi stand by dekat rumah audi dengan bmw. Tunggu pilih je. Aku apa ada? Kaki ada la.” Amir bernada lirih. Tiba-tiba rasa kecik hati pulak bila Qaisy cakap macam tu. Ini bukan drama tapi kenyataan. Memanglah Qaisy punca motornya tersadai di bengkel tapi dia pun guna jugak motor tu kadang-kadang.

Serba salah pula Qaisy bila Amir cakap macam tu. “Ala, sorry la. Don't worry be happy aku bayar kos baik pulih motor kau tu. Jangan risau. Kau guna je sedan aku tu. Pasal aku tak payah risau. Pandai-pandai la aku cari.”

Terherot-herot mulut Amir mengutuk Qaisy. Ala, setakat kutuk-kutuk sayang. Tak maksudkan apa-apa pun. Qaisy tersenyum sahaja melihat telatah Amir, sahabat dunia akhiratnya yang seorang ni. Bagi Qaisy susah nak cari kawan sejati dan dia beruntung ada sahabat seperti Amir walaupun kadang-kadang kesengalan si Amir ni memang mencabar iman di dada yang memang dah sedia menipis.

“Amir.”

“Hurmm.” Dengan mulutnya yang masih penuh dengan buah epal dia menyahut panggilan Qaisy. Tapi pandangan matanya tak pula di halakan ke Qaisy.

“Aku rasa aku dah jumpa la Mrs. Right aku.”

Terhenti kunyahan Amir. Secara drastik dia berdiri sambil menunding ke arah Qaisy yang terbaring.

“Aku dah agak dah! Ni mesti sebab perempuan, kan? Yang kau sampai boleh terjun masuk dalam longkang tu dengan motor aku.” Dia ketawa sebelum kembali duduk semula di kerusinya.

“Itulah kau, usya anak dara orang pun agak-agaklah. Ni sampai accident, kena tahan dekat wad, sipi-sipi lagi nak makan nasi guna straw.” Sambungnya lagi.

Qaisy mencebik. “Aku usha bukan sembarangan perempuan ok.”

Amir ketawa besar tapi tak lama bila nurse yang dia kenyit mata tadi datang menegurnya supaya memperlahankan suaranya.  Takut menggangu pesakit lain yang sedang berehat. Dalam kena tegur tu sempat lagi Amir mengayat nurse tu dengan memberikan buah epal yang dia ukir bentuk love. Entah bila dia ukir love tu pun Qaisy tak pasti.

Amir melambai-lambai ke arah nurse comel tadi. Oh, kenyitan mata haruslah tak dilupakan. Kata buaya tembaga.

Dia kembali memandang Qaisy, sepotong buah epal disuap ke dalam mulut dan dengan mulut yang penuh Amir menyoal. “Siapa? Jenab?”

Jenab tu orang gaji di rumah Qaisy. Muda belia lagi baru 19 tahun tapi dah malas nak sekolah itu yang ikut mak dia yang sememangnya bekerja sebagai orang gaji di rumah Qaisy.

“Bukan. Jenab aku reserved untuk kau. Orang lain.”

Amir buat muka tak puas hati. Setakat Jenab tu baik dia mengurat partner research dia sekarang. Cun pun cun, cuma otak je yang kureng sikit. Tapi bak kata Amir, yang tu boleh adjust.

“Aku kenal tak?”

Laju Qaisy nak menggeleng kepalanya, tapi…

“Adoi…” lehernya dipegang. Susah betul kalau dah jadi tabiat suka menggeleng dengan mengangguk ni. Kalau hari-hari macam ni mau patah riuk lagi teruk leher aku ni. Nak kena ubah tabiat ni. Desis hati Qaisy.

“Nama apa?”

Dalam duk mengaduh sakit tu sempat lagi dia tarik sengih lebar. Riak bahagia terlayar di wajahnya.

“Qaiyisha.”

Maka bermulalah hikayat mat jenin atau cerita dongeng rakyat jelata yang bertajuk bidadari turun dari langit Qaisy kepada Amir. Daripada A sampai Z diceritakan kepada Qaisy. Tentang pertemuan mereka yang pertama kali di kedai dobi sehinggalah saat dia tertenung Qaiyisha di jalan sampai dia boleh terbabas ke dalam longkang dan terbaring di atas katil sakit ni. Oh, dan tak lupa jugak tentang lamaran gila yang dibuat selepas sedar daripada pengsan kepada Qaiyisha.

“Kalau kali pertama jumpa memang la kebetulan. Tapi kalau kali kedua pun jumpa lagi. Bukan jodoh ke tu? Jodohlah kan?” soal Qaisy pada Amir usai habis bercerita.

Membulat mata Amir mendengar ayat kawannya yang seorang ni. “Itu bukan jodoh. Itu bodoh namanya.”

Nah, bahasa si Amir ni memang tak bertapis.

“Memang patut minah tu reject kau. Kau beragaklah kut ya pun suka dekat perempuan. Cuba letak diri kau dekat tempat awek tu. Apa nama dia? Qisya? Qusya? Ah, whatever Sya it is. Kau tak rasa pelik ke tiba-tiba ada mamat yang tak berapa hensem dan baru sedar daripada pengsan akibat accident terus melamar kau. Kau tak rasa ke mamat tu otak dia ada terhantuk dekat mana-mana?”

Qaisy memandang lama Amir macam nak makan. “Part tak hensem tu aku simpan dulu dalam memori otak aku. Nanti lepas aku dah sihat, kita settle dekat luar.”

Amir tarik sengih, “Eh, kau dengar ya aku cakap tak hensem?”

“Yang sakit tu badan aku, pendengaran aku sihat walafiat lagi. Tapi apa yang nak peliknya? Aku suka dia, aku rasa aku dah jatuh cinta dengan dia.”

“Itu kau. Bukan dia! Habis kalau kau dah suka, kau lamar dia lepas tu dia kena terus terima la? Macam tu?” soal Amir serius.

“Ha, macam tu la sepatutnya kan? Kitaorang kahwin pastu habis cerita.” Tak kurang serius jugak jawapan Qaisy.

Amir dah memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya. Stress! Inilah padahnya jadi anak orang kaya yang terlebih manja, semua benda yang dia nak wajib dapat. Tak pernah tak dapat. Inilah akibatnya. Tak pernah nak fikirkan situasi orang lain. Yang dia tahu apa yang dia idam, terhidang depan mata. Amir mengeluh perlahan.

“Segila-gila aku pun Qaisy, aku tak pernah lagi terfikir nak main aci redah lamar anak dara orang sesuka hati aku. Kalau ikutkan perasaan suka kita yang lelaki ni. Agakya dah 80 kali aku kahwin. Yalah, bak kata kau. Jumpa, rasa suka, terus kahwin. Kan? Tu nurse tadi rasanya boleh dah jadi bini aku yang ke 81.”

“Itu kalau suka main-main. Ini aku suka yang betul-betul. Lagipun dalam islam pun tak galakkan bercinta sebelum kahwin. Bercinta lepas kahwin kan yang sebetulnya.” Qaisy menegakkan pendiriannya.

Amir mencebik.

“Amboi, bab kahwin pandai pulak kau sebut islam galakkan semua. Apasal tak keluarkan hadis sekali? Yang bab-bab aku ajak solat berjemaah dekat masjid tak pulak kau nak cakap islam galakkan ya.” Nah, sindir makan dalam namanya ayat Amir ni.

"Kau ajarlah aku cara nak pikat perempuan macam mana, Amir. Kau kan pro bab-bab ni." Qaisy terus ubah tajuk. Kan lagi deep Amir sindir dia.

Muka bangga terus bermaharajalela pada Amir. Riak habis. "Aku bukan tak nak ajar kau. Tapi ilmu memikat aku yang ayah aku perturunkan dekat aku ni, lapan purnama pun tak habis belajar."

Amboi, kemain lapan purnama!

"Tolong member bro. Tak luak pun skill mengorat kau tu."

Amir terus menyilang kaki lagak gaya bos besar.

"Macam ni la, sebabkan kau tak pernah berkira dengan aku... aku pun tak nak la berkira dengan kau. Aku sum up ilmu mengorat lapan purnama tu dalam lapan saat, lapan ayat." Lapan jarinya terpacak ke atas.

Dalam keadaan tengkuk berbalut tu pun Qaisy seolah-olah tak sedar diri, bundar matanya memandang Amir. Penuh mengharap.

"Ayat mesti mau power, mulut biar manis bergula." Keningnya terangkat-angkat.

Qaisy hanya mampu memandang ke arah lain. Mulut manis? Gumamnya perlahan. Matanya kembali memandang Amir. Ragu-ragu.

"Iya ke kau ni?"

"Hak alah, dah aku syer kau tak nak percaya."

"Bukan tak percaya tapi was-was."

"Orang perempuan ni senang je nak pancing diorang. Hati diorang kena jaga selalu, sebab tu kau kena alert dengan setiap perubahan yang ada dekat diorang. Contoh, dia baru lepas buat rambut ke beli baju baru ke... kau kena puji dia macam ni..." Amir berdehem, bersedia untuk mengecilkan suaranya.

"Sayanggg..." Suara halus terkepitnya dah keluar.

"Ingat, sayang tu biar meleret sikit bunyi dia." Dia menambah lagi.

"You nampak gorgeous sangat buat rambut macam ni. Rambut cutting bob ni memang nampak sesuai dengan you. Dah nak iras Nak-nak pulak you pakai dress ni. Wowww! macam miss universe!"

Qaisy ketawa kecil melihat melihat gaya Amir. Tak boleh blah betul mamat seorang ni.

"Kau puji biar nampak seikhlas mungkin dan penuh rasa teruja. Biar nampak kau macam taksub pun lagi okay. Sebabnya kalau kau puji sambil lewa nanti dia ingat kau ni puji hangat-hangat tahi ayam, lepas tu mula la nak sensitif bagai cakap kau tak caring. Orang perempuan ni nak puji pun kena ada skill jugak. Silap puji diorang cakap kau sindir diorang. Faham?"

Qaisy mengerdipkan matanya beberapa kali. Nak angguk kepala tak boleh.

"Kalau tak ada perubahan pun kau ada-adakan je la. Puji je la apa-apa yang patut. Kau kalau muka hensem macam Shah Rukh Khan sekalipun tapi mulut hansuang tak pandai nak puji, nak ambil hati dia pun tak guna jugak. Buang karan je. Itu simple je tu aku tunjuk contoh dekat kau. Yang lain-lain tu pandai-pandai kau la karang ayat. Lemak la kalau semua aku nak suap."

Sebelum Amir meminta diri untuk pulang tadi sempat lagi dia berpesan pada Qaisy. “Wei, kau duduk hospital ni lama-lama sikit tau. Boleh aku datang selalu dekat sini usya nurse-nurse lawa kat sini. Mana tahu sangkut sorang, boleh buat bini ke 82.” Sebelum Amir meminta diri untuk pulang tadi sempat lagi dia berpesan pada Qaisy. Walaupun sarkastik saja nadanya, tapi yang sebetulnya dia serius!

Tak ke Qaisy rasa nak humban je katil sakit dekat sebelahnya tu ke kepala Amir. Biar urat otak dia yang berselirat tu berhubung balik. Orang mendoakan kawan biar sihat, dia? Heh, sabar jelah.






Qaiyisha memberontak dalam diam. Dirinya berang dengan tindakan ibunya yang jelas sekali membela Khair walaupun sudah terpampang yang lelaki itu sememangnya bersalah!

“Ibu, yang ibu nak bela sangat biawak hidup ni kenapa? Dia nak duit, dia sendiri la cari. Bukannya dia budak kecik yang kita kena suap makan, dia dah besar panjang. Pandai-pandai la dia cari duit nak hidup!” suaranya melengking naik sedikit. Bukan niatnya mahu menengking ibunya tetapi rasa geram di hatinya seperti tak mampu ditahan lagi.

Dalam diam Puan Hasna memang mengakui kata-kata anaknya itu. Tapi dia tak mahu memanjangkan cerita. Biarlah dia beri sahaja apa yang Khair pinta darinya daripada dia melihat sendiri batang tubuh Qaiyisha menjadi tempat melepaskan geram oleh Khair nanti jiwanya juga yang merana. Duit boleh dicari… tapi anak? Tak ada galang ganti. Cukuplah dulu sekali dia nyaris-nyaris kehilangan anaknya itu.

“Biarlah, tak banyak pun. Sikit je tu ibu bagi.”

Makin berapi anak mata Qaiyisha mendengar kata-kata ibunya. “Sikit ibu cakap? Sikit? RM 300 tu sikit? Ibu tahu tak duit tu kita nak bayar pada Auntie Sandy. Kalau dia datang lagi kali kita nak jawab apa?”

“Yang kau nak kecoh sangat apahal? Dah ibu nak bagi. Biarlah. Kau tak puas hati kenapa? Suka sangat nak makan pelempang aku? Suka hati la dia nak bagi duit dekat aku. Kau ingat kau sorang anak dia?” Khair menyoal sinis. Tangannya sibuk mengira duit ditangannya yang baru sahaja Puan Hasna hulurkan tadi.

“Thanks ibu. Ni yang Khair sayang sangat dekat ibu. Khair keluar dulu.” Khair tersengih menampakkan baris giginya yang tersusun rapi itu.

Puan Hasna tersenyum pendek tiada rasa. Matanya menghantar keluar kelibat Khair sehingga anak lelakinya itu hilang di sebalik pintu. Kini matanya diarah semula pada Qaiyisha.

“Ibu tak suka tengok Isha bertegang urat dengan Khair. Isha tahukan apa yang dia akan buat lepas tu?”

“Biarlah! Habis selamanya nak bagi muka dekat dia? Biar lemak menitik, tak tahu nak berdikari langsung, macam tu?”

Keluhan kecil lahir dari bibir Puan Hasna. Dia merapati anak gadisnya yang ditatang penuh kasih sayang itu. Rasa bersalah menyerap ke dalam tubuhnya sebaik sahaja matanya tertancap pada pipi Qaiyisha yang sedikit merah dan bibir gadis itu yang pecah sedikit. Tangannya mengusap lembut pipi Qaiyisha.

“Ibu lebih rela dia jadi macam tu dari Isha yang jadi mangsa.”

Bibirnya diketap kuat. Qaiyisha memarahi dirinya sendiri. Kenapa dia lemah sangat? Kenapa dia biarkan sahaja dirinya diperlaku sebegitu? Sedangkan dia boleh melawan, sekalipun kudrat dia tak terlawan dengan Khair tapi sekurang-kurangnya dia ada usaha nak mempertahankan dirinya.

Qaiyisha menolak lembut tangan ibunya, lantas beg tangannya dicapai. Dia terus keluar dari rumahnya. Tak betah lagi melihat wajah sayu ibunya. Langkah kakinya terus dihayun tanpa arah tuju.

Ibu suatu hari nanti Isha akan bawak ibu pergi jauh dari sini. Jauh dari semua orang. Hanya ada kita berdua sahaja. Hatinya cuba memujuk dirinya.

Qaiyisha memandang ke hadapan, jalan yang lengang itu cuma dilalui kadang-kadang sahaja oleh beberapa buah kereta dan motor. Beg tangannya diletak ke tepi dan tanpa sengaja bungkusan bubur nasi yang dia beli untuk ibunya tadi menarik perhatiannya. Dia terlupa hendak menghidangkan bubur itu tadi kerana belum sempat dia hendak menghidangkan bubur itu ke dalam mangkuk Khair muncul dan mencari pasal. Bungkusan bubur itu dicapainya lalu dia bergerak ke arah tong sampah, Qaiyisha dah malas hendak balik ke rumah, hatinya masih sakit lagi dengan tingkah abangnya itu. Tapi ketika dia hendak membuang bubur itu tangannya tertagak-tagak. Mindanya lantas teringatkan kepada seseorang.

Daripada dia membuang sahaja bubur itu yang mana sangatlah membazir, lebih baik dia beri pada orang lain yang lagi memerlukannya. Lantas tangannya menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di hadapannya tika itu.

Setengah jam kemudian, sedar-sedar sahaja dirinya sudah terpacak di hadapan Hospital Tuanku Ja’afar. Dia menapak ke arah wad yang menempatkan si dia.

“Assalamualaikum.”

Lelaki itu mengangkat pandangannya. Berubah terus riak wajahnya., Buah epal yang dipegangnya terjatuh terus. 

“Err, waalaikumsalam.” lambat-lambat dia membalas. Tak percaya dengan bayangan yang sedang berdiri di hadapannya.

Qaiyisha tersenyum pendek.

“Macam mana? Rasa sihat sikit tak hari ni?” punggungnya dilabuhkan di kerusi yang terletak bersebelahan katil Qaisy.

Sengihan si jejaka makin melebar, tak serupa orang sakit langsung. “Sihat, Alhamdulillah makin sihat. Awak macam mana? Sihat tak?”

Qaiyisha ketawa kecil mendengar soalan Qaisy. Dia semestinya sihat cuma yang sihat itu hanya luarannya sahaja. Dalamannya, hatinya itu sedang nazak sekarang!

“Saya mestilah sihat, bukan saya yang accident masuk longkang sebab usya anak dara orang.”

Tersipu-sipu Qaisy dek kata-kata Qaiyisha.

"Anak dara bukan sebarangan yang saya pandang. Ini dah serupa bidadari kayangan turun dari langit. Kalaupun tak nak pandang mata mesti nak TERpandang jugak. Macam ada magnet yang menarik-narik suruh tengok. Itu yang boleh terbabas ke longkang dalam tiga kaki."

Mulut manis. Kalau dah lelaki tu memang semua sama sahaja. Desis Qaiyisha sinis.

“Saya bawakkan awak bubur. Nanti saya hidangkan, awak makan la ya.” Qaiyisha lantas bangun sengaja mengubah topik perbualan mereka bilamana Qaisy dah mula melalut jauh. Dia mencapai mangkuk di meja kecil bersebelahan dengan katil Qaisy.

Qaisy berdehem perlahan, matanya tak lepas memandang riak wajah Qaiyisha. Penat otak dia mengarang ayat manis nak tarik perhatian Qaiyisha tapi gadis itu biasa sahaja, tak ada pun reaksi tersipu-sipu macam gadis-gadis lain yang Amir ayat.

Aduh, salah ayat ke ni? Asal Amir guna menjadi je? Kenapa bila aku guna terus jadi hampeh ni? Qaisy menggigit hujung bibirnya. Rasa malu sekejap bila Qaiyisha buat dunno  saja masa dia tengah mengayat gadis itu. Memang terang lagi bersuluh skill mengorat dia tak setanding Amir Afro!

Dia memerhatikan sahaja lenggok gadis itu yang sedang menuang bubur ke dalam mangkuk. Dalam diam dia memuji Qaiyisha yang tampak manis walaupun hanya berblouse putih dan dipadankan dengan jeans biru.

“Sedap?” soal Qaiyisha tika melihat Qaisy Nampak berselera memakan bubur itu.

“Sedap gila. Ni bubur paling sedap saya pernah makan sepanjang saya hidup!” melebih-lebih betul pujiannya.

“Eh, mana boleh lawan bubur yang emak awak masakkan? Nak-nak pulak mak awak orang utara. Mesti pandai masak. Saya dengar orang dekat sana memang pandai masak.”

Tersedak terus Qaisy. Bukanlah dia nak mengutuk mummynya sendiri. Walaupun hakikat yang ibunya itu memang orang dari utara semenanjung Malaysia. Tapi bakat memasak tu macam tak pernah ada dalam diri mummynya itu.

“Sedap jugak. Tapi bubur yang awak ni pun sedap sangat. Apa yang awak bawak untuk saya semua saya rasa sedap.”

“Iya? Kalau macam tu makanlah sampai habis. Saya singgah sekejap je dekat sini sebab nak hantarkan bubur ni pada awak. Saya balik dulu ya.”

Cepat-cepat Qaisy menegah Qaiyisha daripada pergi. “Eh, nantilah dulu. Sekurang-kurangnya tunggulah saya habis makan barulah awak balik. Bosanlah makan sorang-sorang.”

Qaiyisha serba salah hendak mengabulkan permintaan Qaisy tapi pada masa yang dia sendiri tak betah duduk dengan lelaki dihadapannya ini.  Namun akhirnya Qaiyisha kalah dengan perasaannya sendiri. Dia duduk semula dikerusinya.

Melihat sahaja senyuman yang terukir dibibir Qaisy, Qaiyisha rasakan tak salah kalau dia temankan lelaki ini. Lagipun bukannya dia hal penting hari ni. Tiada kelas untuk dihadiri dan kebetulan dia tak perlu ke tempat kerjanya hari ini.

Entah kenapa hatinya seperti disapa suatu rasa tenang ketika melihat lelaki itu memakan bubur yang dibawanya itu. Lelaki itu kelihatan bahagia, seolah-olah langsung tiada masalah.

Dirinya merenung lagi lelaki itu. Qaiyisha tahu dia bencikan lelaki. Padanya Khair dengan semua lelaki sama sahaja. Tetapi dia perlukan seseorang untuk berteman. Bukanlah teman istimewa tapi sekurang-kurangnya teman untuk berbual. Dan lelaki dihadapannya kini yang menyatakan rasa suka pada dirinya walaupun kali pertama bertemu buat Qaiyisha terfikir apa salahnya dia gunakan kesempatan ini. 

Bukanlah dia hendak memberi harapan kepada lelaki itu, tetapi tak salah bukan kalau dia cuma hendak berteman?



-------------------
TK: Eh, ada watak baru? hehe. Yalah kalau semedang Qaisy dengan Qaiyisha ja kan ke tak variasi cerita. ;) Btw, sengal sungguh la Amir ni. Tapi tu la dalam banyak2 member kita mesti ada kan terselit sorang yang perangai dia nauzubillah! rasa nak benam kepala dia ke dalam kolah air 3 saat! sebab geram. Tapi kalau tak ada mesti rindu dekat dia. Haha.

Oh ya.. Selamat menyambut tahun baru. ;) Moga tahun baru hampa lebih bermakna dari sebelumnya. Amin.