23 November 2015

P.A.P.A 4



BAB 4
Kebetulan atau satu permulaan?

Lama ditenung cermin di hadapannya, sambil menyikat rambutnya Qaisy tersenyum sendiri. Tangannya memegang dagunya sambil dibelek ke kiri dan kanan wajahnya. Bukanlah dia nak bangga diri ya tapi fakta! Dia memang kacak. Dengan matanya tajam memikat, bentuk wajah yang maskulin dan hidung yang sedikit mancung memang dia layak dikategorikan sebagai lelaki yang kacak.

Handsome jugak rupanya aku ni. Sekali pandang rupa macam Ryan Reynolds. Dua kali tilik macam Cam Gigandet. Tiga kali pandang macam…”

“Macam kodok tercekik batu! Cepatlah sikit… tunggu kau mandi macam tunggu kucing jantan nak beranak.” Amir memotong kata-kata perasan Qaisy sambil mengetuk pintu bilik air dengan ganasnya. Nak tercabut pintu bilik air tu dikerjakannya.

Qaisy mencebik… bibirnya terherot-herot mengutuk Amir. “Eleh, jeles la tu aku hensem banyak dari dia.” Qaisy mengutuk perlahan.

“Hoi, aku dengar kau kutuk aku la mangkuk. Telinga aku ni sensitif tau kalau dengar orang kutuk aku. Lagipun bilik air tu kecik je pun. Kau bersin macam anak dara kucing pun aku boleh dengar tahu. Cepatlah keluar aku nak mandi pulak ni.” Amir menambah. Betullah telinga lintah Amir ni. Sepelan-pelan suara Qaisy mengutuk pun, dia boleh dengar.

“Yalah, dah siap pun. Itupun nak bising macam mak nenek.” Qaisy berkata sambil keluar dari bilik air.

“Ah, saddapp you!”

Amir yang sedang menyapu sekati gel rambut sambil bersiul kecil di hadapan cermin menarik perhatian Qaisy yang sedang memakai jam di tangan. Banyak betul gel yang diletakkan pada rambutnya tu sampaikan rambut Amir nampak keras kejung terpacak! Ini kalau burung terjatuh atas kepala si Amir ni memang sah tembus perut burung tu. Mati sia-sia burung tu.

“Kalau kau tempek 4 tan gel tu sekalipun dekat atas kepala kau, tak ada maknanya muka kau boleh sipi-sipi macam John Travolta. Sikit-sikit sapu dah la.” Qaisy menegur.

“Eleh, kau tu jeles sebab rambut aku lagi lebat dari kau.” Memanglah lagi lebat daripada Qaisy kalau dah rambut dia tu jenis rambut sarang tebuan, afro! Sebesar kawah dodol.

Qaisy ketawa sinis. “Aku sebesar zahar pun tak jeles dengan kau apatah lagi nak berdengki. Tapi sedar sikit gel rambut yang sesedap rasa kau tempek atas kepala kau tu aku punya. Kalau guna barang orang tu, beringat sikit.”

Nah, sedas Qaisy bagi dekat Amir!

Amir tersengih macam kerang busuk. “A’ah la, baru aku perasan ni kau punya. Tak apa, memandangkan rambut kau tak berapa nak lebat dan banyak macam aku ni. Biar aku je yang guna benda alah ni. Thanks bro.”

Bibir Qaisy terherot sikit dengar jawapan tak tahu malu Amir. Tapi pun yang sebetulnya dia tak kisah pun kalau Amir nak guna barang-barangnya. Dia chill je. Sebabnya mereka berdua mengamalkan konsep barangmu, barangku jua. Cuma dalam kebanyakkan kes, si Amir ni suka buat konsep dia sendiri. Barangmu, barangku… barangku, barang aku la!

“Pinjam motor kau, Mir…”

“Ok. Pinjam Sedan kau, Ais.”

“Ok. Ada duit nak isi minyak?”

Amir tarik sengih panjang. Memang dia tunggu-tunggu pun soalan keramat ni dari Qaisy. Kadang-kadang tu Amir ni tak berapa nak faham sangat cara anak orang kaya macam Qaisy ni berfikir. Hidup sikit punya senang dah mak bapak bagi. Cakap je nak apa… pejam celik dah terhidang depan mata benda yang diminta tu. Tapi yang peliknya si Qaisy ni suka sangat pinjam motor kapcai Honda C70 miliknya yang kadang-kadang suka ‘pengsan’ dekat tengah jalan.

Motor yang kawan-kawannya selalu cakap dah layak masuk muzium Negara. Sedan SX4 dia yang berhawa dingin dan sikit punya best bawak dekat jalan sebab awek-awek akan usya sampai kepala terteleng tu tak pula dia nak naik. Dalam sebulan tu ada la dua kali dia bawak Sedan dia, itu pun sebab nak balik rumah. Kadang-kadang tu Amir sendiri ada krisis identiti… Sedan SX4 tu Qaisy punya ke dia yang punya?

“Ha, semalam lampu lip lap lip lap dah menyala. Aku terlupa pulak nak isi semalam.” Amir menjawab penuh makna dengan harapan Qaisy faham maksud tersiratnya. ‘Aku tak ada duit nak isi’.

Perkataan terlupa tu dia cakap sebagai penyedap ayat sahaja. Lagipun dia tahu yang Qaisy ni kalau setakat nak bagi duit isi minyak ni, hak alah macam celah gigi je. Tak luak pun harta dia yang menggunung tu, senang cakap tak berdaki la harta tu.

“Nah. Aku guna sampai petang ni tau motor kau.” Not RM50 sebanyak tiga keping dihulurkan kepada Amir.

“Ok guna je la… sampai habis belajar kau nak guna pun aku redha. Eh, banyak ni. Lima puluh pun dah cukup Ais.”

“Kau isi penuh minyak kereta aku. Baki kau ambiklah buat belanja.”

Makin bertambah lebar senyum Amir mendengar jawapan murni lagi suci Qaisy tu. Nampak tak? Kan dah cakap Qaisy ni tabur duit macam tabur dedak ayam!

“Itu yang nak telinga aku nak dengar tu pagi-pagi ni.”

“Chow dulu. Jumpa petang nanti…” dia menggalas secara serong begnya sebelum helmet kura-kura Amir yang tersadai dekat belakang pintu bilik mereka dicapai dan dia terus keluar.




Mulutnya bersiul kecil sambil membawa motor kapcai Amir. Angin pagi yang menyapa wajahnya dibiarkan sahaja, menikmati sejuk yang melewatinya. Riang pula hatinya pagi ni… habis semua orang yang di nampak tepi jalan disapanya dengan menangkat tangan. Pak cik - pak cik pembandaran yang sedang menyapu pun dia hadiahkan senyuman. Sesekali kepalanya memandang ke kiri kanannya tetapi sebaik sahaja dirinya melepasi stesen bas, mata Qaisy tak berkelip. Dia terpandang sesuatu… atau lebih tepat seseorang.

Dia!

Mata Qaisy bagaikan digam apabila memandang Qaiyisha yang anggun berbaju kurung kapas sedang duduk di bangku sambil membaca buku sementara menunggu bas di situ.

“Awek kening lawa.” Tuturnya perlahan. Tiba-tiba sahaja Qaisy terasa bahagia bila ternampak Qaiyisha. Sekali lagi effect bidadari turun dari langit menjelma bilamana dia mula nampak cahaya muncul disekeliling Qaiyisha. Segala-galanya macam dalam movie… segala-galanya menjadi slow motion… kepalanya tak berpaling dari memandang si gadis. Mulutnya ternganga. Matanya berkelip beberapa-beberapa kali. Sebelum…

BUMMM!

Dia terlanggar divider jalan dan tergolek masuk longkang.

“Aduh… aduh…” Qaisy mengaduh kesakitan. Nasib baik dia memakai topi keledar kura-kura Amir ni kalau tak memang bersepai kepala dia dek terhantuk dekat dinding longkang yang agak dalam tu.

“Encik, encik tak apa-apa?”

Dalam keadaan dirinya sedang menanggung kesakitan, telinganya sempat menangkap ada satu suara yang ayu menegurnya. Matanya yang hampir tertutup itu memandang ke atas… dia nampak ada bayangan seseorang yang sedang menunduk ke arahnya. Dek kerana cahaya matahari yang terang bayangan orang itu seperti bersinar-sinar tetapi kerana cahaya itu juga menyebabkan penglihatannya terganggu. Pandangannya masih tidak jelas, berkali-kali matanya dipejam celik supaya dia dapat dengan jelas.

“Encik?”

Kali ni terbuka luas matanya.

“Awak.” Perlahan sahaja nada suara Qaisy.

“Eh, mamat mesin basuh!” tangan Qaiyisha spontan menunding ke arah Qaisy yang masih terperosok di dalam longkang itu. Menyedari kelancangan mulutnya yang tidak disengajakan tu Qaiyisha terus menutup mulutnya.

Ok, sekarang bukan masanya untuk jejak kasih! Mamat tu accident dan dia luka teruk. Kau kena tolong dia sekarang. Tapi apa yang aku boleh tolong? Getus hatinya.

Qaiyisha memandang sekeliling, tak ada sesiapa pun yang berada di situ melainkan dia seorang. Kereta yang lalu lalang pun tidak ada yang hendak berhenti menghulurkan pertolongan. Inilah sikap orang Malaysia. Kalau setakat hendak berhenti untuk tengok sahaja baik tak payah! Buat sesak jalan je. Marahnya dalam diam. Dia kembali memandang Qaisy yang masih terduduk itu.

“Awak boleh bangun sendiri tak ni?”

Qaisy menggeleng kepalanya perlahan, nampak payah sangat dia hendak bergerak.

“Aaaa!” Qaisy menjerit, lehernya terasa seperti patah.

Qaiyisha mula diserang panic apabila mendengar jeritan Qaisy, dia ternampak darah mula mengalir dari tangan Qaisy. Sepantas kilat dia menghulurkan tangannya kepada Qaisy. “Saya tolong awak keluar dari longkang ni dulu ya.”

“Te… telefon ambulan dulu… saya… ouch… saya rasa tulang saya patah. Aduh!” Qaisy mengaduh sakit sekaligus memberi arahan. Sakitnya mula menyerang kembali. Bukan dia tak nak sambut huluran Qaiyisha tetapi dia rasa dia boleh nak bergerak langsung sekarang tangan kirinya terasa berdenyut-denyut.

“Baik, baik.” Qaiyisha segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Dalam hati sempat lagi dia memarahi kealpaan dirinya itu. Macam mana boleh tak terfikir nak telefon ambulan dulu  tadi? Tak peka langsung! Tangannya laju mendail nombor telefon kecemasan.

Usai membuat panggilan penting itu Qaiyisha menarik nafas panjang. Dia kembali memandang Qaisy yang sedang menanggung kesakitan. Kalau betul tulang Qaisy patah, Qaiyisha memang tak berani nak memandai-mandai mengubah kedudukan Qaisy sekarang sebabnya sakit tulang patah bukan boleh dibuat main, salah pergerakan boleh menyebabkan kecederaan bertambah serius. Bibirnya diketap kuat, mengharapkan ambulan yang ditelefonnya tadi datang segera.

Tak lama kemudian, ambulan yang ditelefon Qaiyisha sampai. Dari tepi dia cuma mampu memerhatikan sahaja beberapa orang lelaki yang berbaju putih itu mengangkat Qaisy dengan berhati-hati dan diletakkan di atas katil beroda yang disediakan sebelum ditolak masuk ke dalam van.

“Cik ke yang telefon tadi?” salah seorang pegawai hospital itu menyoal Qaiyisha.

“Ya, ya… saya.”

“Cik kena ikut kami ke hospital sekarang untuk keterangan lebih lanjut. Boleh?”

“Boleh, boleh.” Laju kepala Qaiyisha mengangguk.

Dia turut menghilangkan diri ke dalam perut ambulan dan duduk berdekatan dengan Qaisy. Dalam ambulan itu dia nampak Qaisy sedang menahan sakit dan entah apa yang merasuk dirinya, rasa simpati mungkin. Qaiyisha terus menggengam tangan kiri Qaisy, mahu menyalurkan kekuatan buat lelaki itu.

“Awak sabar ya… tahan sikit je sakit tu. Kita dah nak sampai hospital ni.” Qaiyisha memberi kata-kata semangat kepada Qaisy sambil kedua-dua tanggannya menggengam erat tangan Qaisy.

Dari hujung matanya Qaisy nampak wajah Qaiyisha yang diburu kerisauan itu. Dia membalas genggaman Qaiyisha sebelum terasa dunianya kelam.



To be continue....


2 comments:

  1. Angau sungguh qaisy ni noh..
    Yg masa pandangan kelam tu mesti mata ja pejam...mulut sengih kot...ngeeeee...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak hafisah... angau tahap teruk dia ni. hahaha. Tauxpe! XD

      Delete