3 September 2014

Kau Jelita 4



BAB 4

Fatehah mundar-mandir di ruang tamu rumah sewa mereka. Risau sungguh hatinya bila mana jam dah mencecah pukul sepuluh malam tapi batang hidung Nisa masih tak muncul di rumah. Jangankan batang hidung, bayang Nisa pun dia belum nampak lagi! Nisa masih belum pulang.

“Mana Nisa ni? Ke manalah mamat tu heret Nisa pergi? Ya Allah selamatkanlah kawan aku yang seorang ni…” Fatehah tak henti-henti berdoa, dalam hatinya berdoa sangat-sangat di jauhkan perkara yang tidak di ingini berlaku kepada Nisa. Petang tadi masa Luth menarik tangan Nisa pun dia sudah merasa tidak sedap hati. Entah ke mana diangkutnya kawannya yang seorang itu. Dia risau kalau-kalau sesuatu buruk terjadi. Terselit rasa menyesal kerana tak mengekori Nisa dengan lelaki asing itu petang tadi.

Nisa tu luaran sahaja nampak kuat tetapi sebenarnya hati Nisa sangat rapuh. Mudah tersentuh, mudah terasa! Itu yang Fatehah risaukan… takut hati rakannya terluka.

Tanpa dia sedar itulah yang sebenarnya telah terjadi. Hati Nisa cukup terluka bila dia dihina oleh Melina petang tadi.

Tiba-tiba pintu gril rumah mereka dibuka oleh seseorang dan wajah suram Nisa muncul. Fatehah mengucap syukur apabila melihat wajah sahabatnya itu. Nisa dah balik… hatinya berbisik.

“Nisa…” Fatehah menyeru lembut nama sahabatnya.

Wajah mendung Nisa jelas menunjukkan apa yang hatinya rasa ketika itu. Sedih! Nisa tak menyahut langsung teguran Fatehah. Sebaliknya kakinya terus diatur memanjat tangga rumah dan menuju ke bilik tidurnya di tingkat dua. Sepatah kata tak terkeluar dari bibir Nisa.

“Ada benda yang tak elok ke jadi?” Lebih kepada menyoal dirinya sendiri. Fatehah bertambah risau lalu dia turut membuntuti Nisa memasuki ke biliknya.

Nisa duduk di birai katil. Lama dia merenung lantai biliknya dengan pandangan kosong. Mula-mula Nisa cuma diam tak berkata apa-apa tapi kemudian tiba-tiba saja dia mula menangis dan menangis lagi. Kejadian petang tadi bermain-main dimindanya, kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh perempuan tadi yang Luth panggil Melina itu seolah-olah sebuah filem yang diulang tayang banyak kali!

Nisa memegang kepalanya dengan kedua belah tangannya. Malu! Marah! Sakit hati! Semua bercampur baur. Apa hak perempuan tu nak hinanya? Nisa masih tersedu, luka di hati tu Tuhan saja yang tahu dalamnya macam mana. Malu yang tak boleh ditimbang bila di hadapan khalayak ramai dia dihina...

“Nisa, sabar. Ingat Tuhan…” Dipeluknya bahu Nisa supaya rakannya tu mampu bertenang. Fatehah cuba memujuk Nisa yang masih bersedih dengan kejadian yang baru menimpanya petang tadi.

“Aku… aku malu Fatehah… aku malu. Aku tahu aku tak cantik macam dia tapi janganlah hina aku macam tu. Dia siapa nak hina aku macam tu? Aku tak kenal pun dia... apa hak dia nak buat aku macam sampah depan orang tadi? Aku ada hati ada perasaan ada maruah. Semua orang ingat aku ni manusia yang tak sedar diri. Orang ingat aku perempuan yang tak ada harga diri. Orang ingat aku perampas!” Nisa semakin kuat menangis.

“Nisa dah la tu. Jangan bazirkan air mata kau. Air mata kau tu berharga… jangan menangis untuk perempuan tak guna tu. Sia-sia...” pujuk Fatehah. Melihat keadaan Nisa buatkan dia pun turut sama merasakan sedih dan rasa bersalah pada Nisa. Kalau dia setuju ikut Nisa balik tadi semua ni tak kan terjadi. Nisa tak akan dihina oleh perempuan entah apa-apa yang biadap tu.

“Aku menangis sebab maruah aku diinjak-injak Tehah… dia hina aku depan orang ramai. Dia tuduh aku sundal, dia tuduh aku macam-macam, Tehah.” Nisa lagi sebak.

“Nisa, perempuan tu cakap tak guna akal. Jangan dengar apa yang dia cakap. Kalau muka cantik pun tapi hati hitam tak guna jugak  Nisa. Abaikan perempuan tu. Kau ingat tak aku pernah cakap cantik tu tak boleh bawa ke mati pun. Nisa... bila masuk kubur nanti mungkar nangkir tak tanya pun kau kat dunia cantik macam Jessica Alba tak? Kalau ya kau masuk syurga. Kalau tak kau masuk neraka… Tak ada benda macam tu, yang penting cantik di mata Tuhan. Cantik di mata manusia ni nafsu je.”

Tangisan Nisa dah mula berkurangan… Fatehah ni nak memujuk pun bagi contoh tak boleh blah sungguh. Guna Jessica Alba bagai. Tengah bersedih ni! Agak-agak la...

“Nanti bila kau tua hodoh juga. Kendur sama jugak  tak ada maknanya kalau muda-muda cantik macam miss world sekalipun.” Fatehah cuba memujuknya. Melihat Nisa menangis membuatkan hati Fatehah turut bersedih. Bak kata pepatah melayu cubit paha kiri paha kanan pun terasa.

“Nah, kau tengok sekarang contoh terdekat. Perempuan tu muka je cantik tapi adab dengan budi bahasa fail! Kau tak payah nak hiraukan sangat apa yang perempuan tak bertamadun tu cakap.” Pada mata Fatehah… Nisa bukannya tak cantik cuma manisnya lebih. Tapi kalau nak dibandingkan Nisa dengan perempuan tadi tu memang langit dengan bumi! Nisa cantik asli. Melina tu plastik semata-mata. Harapkan make up saja. Kalau tak ada make up sekati tu… kirim salam sajalah. Entah tak ada lelaki pun yang lalu nak hadap muka dia.

Nisa mula berhenti menangis. Tapi hatinya tetap sakit.

“Aku tak kenal pun lelaki tu, kalau setakat jumpa dua kali macam tu pun bukan alasan kukuh dia boleh buat sesuka hati dengan aku. Apa dia ingat aku pinjam handphone dia tiga minit hari tu dia boleh buat aku macam ni? Dia ingat dia tu siapa?!” Suara Nisa sedikit meninggi. Angin kus-kus dah mula menyerang. Bengang.

Fatehah menggaru kepalanya yang tak gatal...

“Kenapa dia buat aku macam ni? Aku tak ada salah pun dengan dia.” Matanya memandang mata Fatehah meminta penjelasan. Penjelasan yang Fatehah sendiri pun tak boleh nak terangkan sebab dia sendiri pun tak tahu kenapa lelaki tu melibatkan Nisa.

Lama mereka terdiam. Dua-dua tak ada jawapan yang munasabah kenapa Luth bertindak sedemikian drastik dengan melibatkan Nisa dalam hal permasalahnya dengan Melina.

“Tehah, aku penat… aku nak tidur.” Nisa bersuara lagi. Air matanya dikesat dengan belakang telapak tangan.

“Baringlah… aku tahu kau penat. Lupakan semuanya Nisa dan banyakkan beristighfar biar hati kau tenang.” Nisa diselimutkan dan tombol pintu bilik tidur sahabatnya dicapai. Biarlah Nisa bertenang dulu.

Nisa memejamkan matanya, cuba mengusir semua bayangan kejadian yang baru menimpanya petang tadi.

“Tehah.”

Fatehah yang baru hendak menutup pintu bilik Nisa terhenti langkahnya apabila namanya dipanggil. Dia melihat Nisa yang sedang berbaring sambil kedua matanya tertutup rapat. “Kenapa? Kau perlukan apa-apa ke?” Prihatin sungguh nada Fatehah menyoal. Member tengah bersedih tu kenalah bagi muka.

“Aku belum bayar tambang teksi lagi. Pak cik tu tunggu dekat luar. Tolong bayarkan...”

Menyenget bahu Fatehah dengar apa yang Nisa cakap. “Kau... kau... kau panggil aku sebab tu je?”

Tiada jawapan dari Nisa. Sepi.

Dengkuran halus mula kedengaran... Nisa dah ke alam lain.

Hampeh!

Baru tadi sesi luahan perasaan, mood masing-masing pun tengah syahdu lagi. Tiba-tiba dah dekat setengah jam baru dia beritahu yang tambang teksi tak bayar lagi! Fatehah terus bergegas keluar rumah. Ternyata pak cik teksi yang Nisa sebut tadi masih ada. Masam mencuka wajah pak cik teksi.

Nisa ni memanglah!



Keesokkan paginya, Luth bergegas ke pejabat Waqif yang juga tempat Nisa bekerja. Ada perkara yang nak ditanyakan kepada Waqif mengenai Nisa.

          “Kau nak buat apa nombor telefon Nisa?” Kening Waqif bertaut dua. Pelik betul dia dengan perangai Luth. Pagi-pagi buta datang pejabat dia… Pak guard pun tak sempat tukar syif lagi, Luth  dah siap terpacak depan pintu pejabatnya. Lepas tu tiba-tiba minta nombor telefon Nisa. Yang ni lagi pelik! Demam ke apa budak ni?

“Erm, adalah hal aku. Apa nombor dia?” Luth menyoal lagi sekali.

“Mana boleh aku kasi dekat kau sesuka hati aku.”

“Ala, kau ni kawan sendiri pun tak boleh tolong. Berkiralah kau… aku minta nombor telefon Nisa je pun bukan aku banglo sebuah dekat kau.” Luth merengus kasar.

“Bukan masalah berkira, masalahnya… polisi syarikat. Yang kau tiba-tiba minta nombor telefon dia kenapa? Yang Nisa pun tiba-tiba ambil cuti mengejut… serentak. I smell something fishy here.” Riak muka Waqif seperti mengesan sesuatu yang tak kena sedang berlaku di hadapannya kini.

Dia nak berfishy-fishy pula dekat sini. Luth mengeluh. “Nisa tak masuk kerja?”

“A’ah… baru tadi kawan dia call cakap Nisa tak sihat. Dia minta emergency leave tiga hari. Pelik korang berdua ni… yang sorang awal-awal pagi lagi dah tercangak depan pintu pejabat, yang sorang lagi tiba-tiba ambil cuti mengejut. Mesti ada sesuatu yang terjadi kan? Entah-entah Nisa sakit sebab kau. Kau ada jumpa dia ke? Baik kau cakap dekat aku apa kau dah buat dekat Nisa. Kau buat apa dekat anak dara orang, Luth?” Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepada Luth.

“Mana ada aku buat apa-apa dekat dia! Kau jangan nak menuduh aku.” Cepat-cepat Luth menafikan tuduhan Waqif. Luth berdehem beberapa kali menghilangkan resah di hati. Itu jawapan luaran… dalam hati? Aku tak buat benda pelik-pelik dekat anak dara orang. aku mengaku dia tunang aku je.

“Yang kau panik semacam ni kenapa? Aku tanya je.” Soal Waqif penuh syak wasangka. Pelik melihat rakannya yang tampak gelisah semacam ini.

“Tak nak tolong sudahlah.” Luth terus meninggalkan pejabat Waqif. Hatinya mula diserang rasa tak senang. Rasa bersalah mula menimpanya. Nisa sakit? Pasal semalam ke? Dia menyoal dirinya sendiri. Enjin kereta dihidupkan. Belum sempat Luth nak menukar gear tiba-tiba telinga menangkap satu bunyi.

“Bunyi telefon? Tapi bukan telefon aku.” Luth mula mencari dari mana datangnya bunyi telefon tu. Kemudian matanya terpandang sesuatu di kerusi penumpang bahagian belakang.

Beg tangan?

“YaAllah! Pelupanya aku ni… beg tangan Nisa.” Ditepuknya kepalanya berkali-kali. Tangannya cepat mencapai beg tangan Nisa dan telefon bimbit Nisa dicari tapi belum sempat dia menekan butang hijau, telefon tu sudah termati dengan sendirinya.

Luth kemudian menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Betullah kau ni bengap Luth. Sia-sia je kau merayu dekat Waqif macam pengemis. Padahal handphone Nisa ada dekat kau, kalau kau telefon dia tadi. Kau sendirilah yang jawab.” Dia mengetawakan kebodohan dirinya sendiri. Kerja pangkat tinggi benda basic macam ni pun dia boleh tak perasan.

Telefon bimbit Nisa digeledahnya. Dia tahu apa yang dia buat ini salah tapi dia cuma hendakkan nombor Nisa. Mesej-mesej Nisa langsung tak dibukanya. Sebaik saja nombor telefon Nisa berjaya perolehi, telefon bimbit itu disimpan semula ke tempat asalnya.

Handphone dia ada dekat aku. Tapi macam mana aku nak pulangkan beg tangan dia? Aku tak tahu dia tinggal kat mana…” Luth mula berdiolag sendiri. Memikirkan cara untuk berjumpa dengan Nisa.

“Dompet dia! Mesti ada dalam beg.” Diselongkarnya pula beg tangan Nisa tanpa izin tuan punya beg itu. Kesalahan kedua yang dia lakukan hari ini. Sebaik saja dia menemukan dompet Nisa terus dibukanya. Kad pengenalan Nisa pula menjadi mangsa.

“Khairunnisa bt. Khuwailid.” Luth menyebut perlahan nama Nisa.

“Hurmm, simple je nama dia. Klasik pun ya jugak .” Luth menyambung lagi.

Kali ni matanya memandang pula nombor kad pengenalan Nisa. “880808-xx-xxxx. Hish, banyak betul nombor lapan dia…” Luth ketawa. Sempat lagi dia mengutuk Nisa.

“Awal 20-an… muda lagi. Muda aku empat tahun. Hurmm, ada can nak masuk jarum.” Luth membuat kira-kira dalam kepala otaknya kemudian kepalanya terangguk-angguk sedikit seperti memikirkan sesuatu. Entah-entah tengah fikir taktik nak mengorat Nisa?

Lepas sudah puas menilik dan menganalisis maklumat Nisa, barulah dia kembali ke tujuan asal dia melihat kad pengenalan Nisa iaitu mencatit alamat Nisa! Tapi... ni alamat rumah jauh... takkanlah alamat ni kut? Luth menggaru kepalanya yang tak gatal.

“Minah ni tak ada simpan ke alamat rumah dia yang sekarang?” Bibir Luth tergerak-gerak membebel. Tangannya ligat memunggah beg tangan Nisa.

Tiba-tiba dia terjumpa sebuah buku kecil. Planner book Nisa. Luth tersenyum. Gotcha! Usai mencatit alamat Nisa disimpan kembali buku tersebut… Dompet Nisa yang hampir dimasukkan semula tapi tiba-tiba terdetik dalam hati Luth untuk melihat gambar yang ada di dalam dompet tu pula! Kesalahan Luth yang entah kali ke berapa ini.

Gambar passport Nisa menjadi perhatiannya. Dia tersenyum… Manis. Hatinya memuji Nisa. Memang dia akui Nisa taklah cantik, ramai lagi perempuan lain yang lebih cantik daripadanya dekat luar sana. Tapi Nisa ni manis orangnya… manis yang memikat hati.

Tanpa berfikir panjang terus diambilnya gambar yang berukuran passport Nisa tu dan disimpan ke dalam dompetnya. Mencuri? Iyalah kut… manalah tahu, kalau-kalau nanti gambar Nisa ni berguna pada masa depan nanti bukan kita tahu kan? Luth sengih.

“Tadi kau geledah handphone dia, lepas tu kau selongkar beg tangan dia… kemudian kau curi gambar dia! Wow, terbaiklah Luth… lepas satu, satu jenayah kau buat. Kalau Nisa saman kau, memang pedih nak membayar ganti rugi ni. Boleh je dia dakwa kau atas tuduhan menceroboh hak orang lain tanpa kebenaran dan mencuri…” Luth menggelengkan kepalanya. Semuanya sebab Nisa…

Wah, takkan jampi dalam ‘kopi mandrem’ Nisa memang berkesan kut? Ini baru betul tuah ayam nampak di kaki, tuah Nisa? Luth dah ternanti.



Kau dah cari betul-betul ke dalam bilik tidur kau tu?” Fatehah menyoal buat kesekian kalinya kepada Nisa.

“Dah. Aku dah cari berpuluh kali dekat bilik tidur aku tapi tak jumpa. Beg tangan aku tu besar mustahil aku tak nampak kalau ada dalam bilik tu,” jawabnya penuh yakin. Memang betul dah habis satu bilik dia geledah tapi tak jumpa pun beg tangannya tu. Pelik betul tiba-tiba boleh hilang macam ni.

Kali ni ruang tamu rumah pula menjadi mangsa, habis digeledah mereka berdua untuk mencari beg tangan Nisa yang hilang. Berterabur semua kusyen-kusyen sofa dikerjakan mereka. Kalau sekali pandang ada la juga rupa macam kena serang dengan taufan Katrina keadaan rumah mereka masa tu.

Nisa baru sedar yang beg tangannya hilang ketika dia mencari telefon bimbitnya untuk telefon Waqif a.k.a bosnya. Dia mahu memberitahu yang dia tak boleh ke pejabat hari tu kerana sakit. Senang cakap, istilah orang office guna… emergency leave. Last-last, Fatehah yang kena call bos dia cakap dia sakit. Mujur Fatehah ada… kalau tak entahlah Nisa pun tak tahu nak contact bosnya macam mana. Luaran memang dia sihat tapi dalaman tu yang sakit. Dia perlukan masa untuk bertenang selepas apa yang berlaku semalam.

Kemudian tak disangka-sangkakan, dia tak jumpa pula beg tangan dia. Mahu tak panik Nisa pagi tu mencari beg tangannya. Semua barang berharga dia ada di dalam beg tangannya. Kad pengenalan, telefon bimbit, lesen, kad kredit, kad atm, kad kerja, duit… semualah! Tak ada semua benda tu susah hidup dia nanti. Nak-nak lagi kalau memang betul beg tangan dia tu hilang. Nak kena buat balik kad pengenalan dengan segala jenis kad yang ada di dalam dompet tu... Lepas tu, mesti kena bayar denda. Ah, duit lagi keluar…

Lepas satu, satu masalah muncul. Ni baru betul kalau orang cakap sudah jatuh di timpa tangga pula… Cuma bezanya Nisa tak tahu yang kejap lagi lepas kena timpa dengan tangga, siling rumah pula nak menghempapnya!

“Cuba ingat balik baik-baik semalam kau letak mana.” Kali ni Fatehah memaksa Nisa untuk duduk dan bertenang. Nisa akur, dia duduk di atas sofa, perlahan-lahan Nisa menarik nafas dan lepas… matanya dipejamkan memikirkan kejadian semalam dan di mana beg tangannya berada.

“Masa tengah shopping semalam dengan kau beg tangan tu ada lagi, pergi makan dekat kedai sushi pun ada lagi. Kemudian, masa aku bergaduh dengan minah langsuir tu pun beg tangan aku ada lagi. Aku yakin ada lagi masa tu sebab beg tangan tu aku guna buat defends aku. Lepas tu mamat tak center tu tarik aku, masa tu pun beg aku ada lagi…” Nisa mula mengimbas kembali detik-detik semalam.

“Mamat tu bawak kau pergi mana?”

“Aku pun tak tahu, yang aku tahu kat tempat tu tak ada orang pun. Sunyi je… kemudian kami bergaduh. Aku pukul dia sebab aku sakit hati. Masa tu beg tangan aku ada lagi kalau tak silap aku.” Nisa mencerita lagi.

Lama Nisa diam… kepalanya tengah mengingati sesuatu. Dia bergaduh dengan mamat tu, dia lari balik rumah naik teksi.

Teksi semalam…

“YaALLAH!” tiba-tiba Nisa menjerit.

“Apa-apa? Kenapa? Dia ada buat benda yang tak senonoh ke dekat kau?” Fatehah tiba-tiba menjerit panik. Matanya membulat memandang Nisa. Manalah tahu kut-kut Nisa baru teringat balik kalau-kalau mamat tu ada buat benda jahat dekat dia.

“Teksi semalam aku lupa bayar tambang dia. Kesiannya pak cik tu…” keluhan kecil terlepas dari mulut Nisa. Semalam dia terlampau melayan perasaan sampaikan terlupa membayar tambang teksi tu.

“Hurmm...  semalam lagi aku dah tolong bayarkan. Ingatkan apalah kau ni. Jerit tiba-tiba. Suspen je.” Fatehah membebel. Nampak sangat semalam Nisa otak tengah tak betul, dia yang suruh Fatehah bayar tambang teksi semalam, dia yang lupa.

Tiba-tiba Fatehah memetik jarinya.

“Ha! Semalam masa kau masuk rumah aku tak nampak pun kau pegang apa-apa. Beg tangan kau tak ada pun masa tu.”

“A’ahlah… semalam aku balik tanpa beg tangan aku. Maknanya…” ayat Nisa tergantung.

“Kau tinggal beg tangan kau dengan mamat tak center tu!” Fatehah melengkapkan ayat Nisa.

Dengan spontannya badan Nisa terus tersandar ke belakang. Keluhan berat dilepaskan, dia memandang Fatehah seketika sebelum mengambil kusyen di sebelahnya dan terus menekup mukanya dengan kusyen sofa itu… benci! Maknanya lepas ni bakal ada lagi pertemuannya dengan mamat tak center tu. Argh, stress, stress! Aku tak nak jumpa mamat tu lagi dah. Aku benci dia. Eii, ini yang rasa nak menangis ini. Hati Nisa menggerutu.

“Nisa kau ok ke ni?” Takut Fatehah melihat Nisa yang tiba-tiba menarik rambut dengan kedua-dua belah tangannya. Macam orang gila pun ada.

“Aku tak ok! Aku tak nak jumpa mamat tu dah.” Suara Nisa mengendur…

“Tak apa… aku temankan kau jumpa dia nanti untuk ambil beg tangan kau tu. Kalau dia berani buat apa-apa kat kau. Taulah aku nak tangan-tangankan dia macam mana.” Fatehah memberi jaminan.

“Sob, sob, sob… terharu aku… kaulah sahabat dunia akhirat aku.” Nisa terus memeluk Fatehah dan mereka berpelukan.

Tiba-tiba…

“Assalamualaikum!” Ada orang memberi salam dari luar rumah sewa mereka.

Nisa dengan Fatehah berpandangan. Jarang mereka terima tetamu… siapa pula yang datang ni?

Bala dah datang. Ini bukan Bala anak lelaki Krishnan ke apa ke... Ini bala menempah maut namanya!

Nisa dengan Fatehah bingkas bangun dan terus mencapai tudung arini yang memang dah sedia mereka gantungkan di belakang pintu bilik bawah. Spare untuk kes-kes orang datang rumah mengejut, contohnya macam sekarang inilah. Entah siapalah tetamu tak diundang yang datang ke rumah mereka tika itu.

Tangan Nisa tangkas memegang tombol pintu dan dibukanya dari dalam.

“Waalaikummussalam…” Nisa mengangkat wajahnya mememandang wajah tetamu mereka dan serentak itu mata Nisa terus membulat! Mulutnya ternganga… jari telunjuknya tertunjuk-tunjuk ke arah tetamu mereka.

“Kau!” Nisa menjerit kuat. Riak wajah Nisa terus berubah sepenuhnya…

Fatehah yang menyusul dari belakang Nisa pelik bila mendengar Nisa menjerit kuat. Dia belum nampak lagi wajah tetamu mereka yang datang tu.

“Kau ni kenapa terjerit-jerit macam tarzan?” Fatehah merungut, dia menolak ke tepi sedikit bahu Nisa. Sebaik sahaja kepalanya berpaling memandang tetamu yang datang... mulutnya ternganga. Sama macam Nisa keadaannya, jari telunjuk terarah kepada tetamu mereka sambil matanya tak berkelip-kelip.

Ha, kan betul tu… sudah jatuh ditimpa tangga dihempap pula dengan siling rumah! bertubi-tubi. Tapi persoalannya… siapakah gerangan tetamu tak diundang mereka tu? Kenapa Nisa tiba-tiba menjerit macam kena histeria?




------------------------------------
TK: Wah, its getting hot here... siapa yang Nisa nampak tu?? agak2 korang siapa la kan? ;)

4 comments:

  1. Tau dah Luth yg datang bg salam tu. Hehehe.

    Tapi kan.. Ada kemusykilan ni.

    Aritu terbaca part Luth campak handbag Nisa sampai berkecai hp tu..bab berapa lak? Lambat lg ke nk sampai bab tu? Hehe

    ReplyDelete